KUALA LUMPUR 2 OKTOBER: Kecurangan penggunaan wang rakyat seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara akibat daripada kegagalan urustadbir kerajaan, kata Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh.

Beliau berkata, kerajaan gagal mengamalkan beberapa prinsip yang terkandung dalam tatakelola pentadbiran yang baik seperti akauntabiliti, integriti dan ketelusan.

Fuziah Salleh“Pendedahan laporan itu menunjukkan wang rakyat gagal diurus dengan baik. Begitu banyak pembaziran dan peruntukan yang diberikan hangus begitu sahaja,” ujarnya kepada Keadilan Daily.

Ahli Parlimen Kuantan itu turut bimbang soal keselamatan negara apabila Audit mendapati sebanyak RM1.33 juta aset polis termasuk senjata api dan gari hilang di bawah jagaan pasukan itu.

“Bayangkan aset penting seperti itupun gagal dikendali dengan baik. Adakah keselamatan rakyat terjamin di bawah kawalan polis yang jelas mempunyai kelemahan.

“Itu belum termasuk Jabatan Kastam yang menempah kasut tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, kemudian membakarnya. Tindakan ini seolah-olah membakar duit rakyat,” katanya.

Beliau mempersoal kegagalan kerajaan mengambil tindakan konkrit untuk memastikan ketirisan wang rakyat tidak berulang.

“Harus difahami bahawa Laporan Audit itu membabitkan banyak aspek termasuk pemerolehan, tender yang tidak mengikut spesifikasi dan sebagainya sehingga membolehkan pemberian projek dan tender kepada kroni.

“Siasatan perlu untuk membasmi aktiviti yang merugikan aset rakyat seperti ini,” tegas Fuziah.

Sumber: KeadilanDaily

0 comments:

top