SHAH ALAM,27 OKT : Pengurangan subsidi dan mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan Umno-BN berbelanja.

Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perlaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan Umno-BN mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasinya dan bukannya ianya terus berboros dengan duit rakyat.

Katanya, rakyat tidak diberikan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan GST apabila ia diumumkan pada kadar yang sebegitu tinggi pada 6 peratus bermula 1 April 2015.

“Dengan GST, mereka yang tidak mempunyai kereta dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sehingga tidak layak membayar cukai pun dikenakan cukai atas setiap pembelian,” katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim berkata, di Singapura, kadar GST diperkenalkan pada kadar 3 peratus sebelum beransur menjadi 7 peratus.

“Ada yang berkata masyarakat kampung tidak akan merasai beban daripada GST. Ingin diingatkan bahawa kebanyakan barangan yang dijual di kedai-kedai runcit di kampung datangnya juga daripada para pembekal di bandar.

“Barangan itu sudahpun dikenakan GST ketika tiba di kedai runcit. Walaupun kedai runcit yang kecil itu dikecualikan daripada GST kerana tidak melepasi had minima perolehan tertentu, barangan yang dijual kepada masyarakat kampung sudah tentunya pada harga yang lebih tinggi kerana sudah dikenakan GST oleh pembekal,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, tindakan kerajaan mengenakan GST tidak mampu menyembunyikan kegagalan mereka mengawal perbelanjaan berlebihan dengan defisit terus kekal.

Lebihan dalam kutipan cukai yang dinyatakan dalam Laporan Ekonomi 2013/14 sepatutnya membantu mengurangkan defisit kronik itu kepada 2.6 peratus tetapi sebaliknya kekal tidak berubah pada unjuran empat peratus.

“Walaupun kerajaan mengumpul jauh lebih tinggi daripada hasil yang dijangkakan, defisit untuk 2013 kekal pada RM39.3 bilion.

“Ini bermakna hampir setiap sen pendapatan tambahan yang dikutip kerajaan terus segera dibelanjakan, bukannya menyumbang ke arah mengurangkan hutang,” katanya.

Sumber: SelangorKu

0 comments:

top