KUALA LUMPUR 22 OKT: Dewan Rakyat menolak pertanyaan jawab lisan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, berhubung isu kehilangan RM52 bilion saham yang sepatutnya diberikan kepada bumiputera dengan anggapan perkara itu ‘remeh’ dan ‘dangkal’.

Penolakan itu dinyatakan dalam surat dengan alasan pertanyaan tidak boleh mengandungi hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, pujian, kejian, kalimah mengelirukan, menyindir, menyakitkan hati atau perkara dangkal dan meminta penerangan berkenaan perkara remeh.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata alasan bagi menolak soalan itu adalah tidak munasabah dan bertentangan dengan prinsip demokrasi.

“Apa yang berlaku ini mencemar perjalanan Parlimen sebagai badan tertinggi dalam kerajaan. Kalau mereka (Dewan Rakyat) ada masalah dengan soalan ini, mereka boleh tapis atau keluarkan ayat yang menyakitkan hati.

“Tetapi isu hilang saham bukan remeh jadi mengapa soalan itu ditolak dengan alasan sama. Mereka sendiri beri alasan yang remeh pada pertanyaan yang dikemukakan,” katanya dalam sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Guan Eng sebelum ini meminta kerajaan menjelaskan faktor Suruhanjaya Siasatan DiRaja tidak ditubuhkan bagi menyiasat skandal terbesar di Malaysia berkenaan kehilangan RM52 bilion saham yang sepatutnya diberikan kepada bumiputera.

“Bukan kerana kami hendak saham ini, tetapi ia isu besar yang perlu disiasat supaya saham yang hilang itu boleh dikesan dan diagihkan kepada orang miskin,” katanya.

Beliau berkata, permohonan itu dibuat berdasarkan sebuah artikel yang disiarkan Bernama bertarikh 30 Jun 2009 yang melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengakui terdapat perbezaan ketara antara RM54 billion saham bumiputera yang diperuntukan, berbanding jumlah sebenar yang masih dimiliki mereka.

Sumber: SelangorKu

0 comments:

top