KUALA LUMPUR 21 OKT : Pakatan Rakyat (PR) menganggarkan unjuran pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus tahun hadapan dengan nilai defisit negara bersamaan kadar 3.2 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata belanjawan alternatif PR sentiasa mempunyai anggaran defisit lebih rendah daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, defisit Kerajaan BN dianggarkan antara 3.8 hingga 4 peratus ekoran kegagalan mereka menangani gejala rasuah dan ketirisan.

“PR meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun 2014 pada kadar 5.2 peratus berbanding 4.5 hingga lima peratus pada 2013 berdasarkan ramalan peningkatan ekonomi global.

“PR menganggarkan pendapatan negara sebanyak RM228 bilion, manakala anggaran perbelanjaan pula RM262 bilion dengan pengurangan sebanyak 10 peratus bagi perbelanjaan operasi tidak termasuk emolumen,” katanya dalam sidang media pembentangan Belanjawan Alternatif PR 2014, di Parlimen, hari ini.

Anwar berkata, belanjawan alternatif berkenaan dirangka berdasarkan tiga teras utama dengan menekankan usaha mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang.

“Antaranya adalah pengukuhan kedudukan fiskal negara dan pemerkasaan kewangan awam, pembangunan ekonomi seimbang, inklusif dan mampan, selain peningkatan kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat,” katanya.

SelangorKu

0 comments:

top