Bekalan Air Terawat Berterusan Hingga 2022

Langkah mitigasi yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dijangka memastikan pembekalan air terawat yang berterusan untuk sedekad lagi, iaitu sehingga 2022. Projek mitigasi itu dijangka siap tahun ini.

Antara langkah mitigasi yang diambil adalah pemulihan loji rawatan air Bukit Jelutong yang telah ditutup. Ini dijangka menaikkan takat rizab air sehingga 851 juta liter sehari (jls). Penggunaan teknologi membran akan meningkatkan penghasilan air terawat sebanyak 100 jls lagi.

Pusat Kajian Sosio-Ekonomi (SERC) bagaimanapun menggesa Kerajaan Negeri supaya lebih tegas bertindak memastikan penyelenggaraan loji rawatan dan paip yang lebih ketat.

“Kajian yang dijalankan firma kaji selidik Enrico mendapati kesemua 29 loji rawatan air yang diurus Puncak Niaga tidak beroperasi di paras optima. Kira-kira 18 loji itu perlu dibaikpulih dan dinaik taraf,” saran SERC.

Badan tersebut menggesa Kerajaan Negeri supaya mengatasi pencemaran air di sungai-sungai utama di Selangor, terutamanya di Semenyih dan di Langat.

Pencemaran di sungai-sungai itu menyebabkan jumlah bekalan air mentah berkurangan.

“Sehingga April 2012, sekurang-kurangnya 13 kejadian henti tugas di loji-loji rawatan akibat paras pencemaran yang tinggi,” menurut laporan itu.

Punca pencemaran dikenal pasti daripada aktiviti perkilangan, ladang ayam dan itik, tumpahan minyak dan perlombongan pasir.

Kerajaan Negeri juga diminta menguatkuasakan undang-undang menghukum pencemar sungai, mengekang pencurian air dan penyelewengan, dan memindahkan kilang-kilang ke kawasan yang sesuai.


Sumber: SelangorKu

0 comments:

top