Kenyataan Media YB Dr. Xavier Jayakumar

Menguatkuasakan Enakmen Melarang Meminum Minuman Keras Secara Terbuka di Tempat-tempat Awam dan Penutupan Kilang Memproses ‘Cheap Hard Liquor’

2 Julai 2013


Dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor pada hari ini saya telah membentang dan mencadangkan supaya sebuah enakmen yang melarang minuman keras di tempat-tempat awam dikuatkuasakan di Negeri Selangor.

Enakmen seperti ini telah pun dikuatkuasakan dikebanyakan negara seperti Australia, Canada dan Finland bagi membendung aktiviti meminum minuman keras secara terbuka di tempat-tempat awam kerana mengundang kepada kacau ganggu terhadap ketenteraman awam serta kerosakan harta benda dan punca kepada masalah sosial.

Melalui penguatkuasaan enakmen ini, Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak Polis boleh menguatkuasakan undang-undang melarang orang ramai meminum minuman keras secara terbuka di tempat awam. Mereka yang didapati bersalah kemudiannya dikenakan denda dan hukuman yang sepatutnya.

Isu berkaitan yang saya tegaskan juga adalah penutupan kilang-kilang yang mengeluarkan arak-arak keras murah (cheap hard liquor). Umum diketahui arak-arak jenis ini mengandungi kandungan alkohol yang sangat tinggi yang mendatangkan banyak masalah kesihatan terutamanya kepada organ-organ dalaman.

Selain masalah kesihatan, masalah keruntuhan rumahtangga dan penderaan juga adalah akibat daripada pengambilan arak-arak jenis ini. Kita tidak boleh nafikan bahawa kadar jenayah terutamanya dikalangan belia yang juga telah menular disekolah-sekolah meningkat akibat pengambilan arak terutamanya arak keras murah yang mudah diperolehi dan dijual secara berleluasa.

Realiti yang saya lihat pada hari ini, pengeluaran dan penjualan arak-arak dari jenis ini hanya membawa kepada kehancuran sosial dan masalah kesihatan. Oleh itu saya telah mencadangkan supaya kilang-kilang sedia ada diberi tempoh paling lama 3 tahun kemudian operasinya dihentikan. Pihak berkuasa dan agensi berkaitan juga perlu terus memantau dan mengetatkan undang-undang sedia ada berkaitan pengeluaran dan penjualan arak-arak keras murah ini.

Justeru, satu tindakan tegas dan segera perlu dilakukan yang akhirnya dapat menjadikan Enakmen Melarang Meminum Minuman Keras Secara Terbuka di Tempat-tempat Awam serta penutupan kilang-kilang arak keras murah (cheap hard liquor) ini menjadi kenyataan.


YB DR XAVIER JAYAKUMAR
ADUN Seri Andalas

2 Julai 2013

0 comments:

top