KUALA LUMPUR, 4 Feb – Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Selangor menimbulkan kesangsian sama ada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) ketika ini berhadapan masalah kewangan sehingga menyebabkan Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bantuan tambahan RM120 juta kepada syarikat air tersebut, serta mendakwa langkah tersebut tiada kena mengena dengan krisis air yang dituduh oleh kerajaan pusat sebelum ini.
Pemimpin PR menyifatkan ia hanya lebih kepada gimik politik menjelang pilihan raya tidak lama lagi.

Langkah Perdana Menteri (PM) mengumumkan bantuan tersebut pada hujung minggu lalu mempunyai kaitan dengan tindakan kerajaan PR negeri Selangor apabila Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberikan tempoh 14 hari kepada Putrajaya untuk menjawab tawaran mereka untuk mengambilalih SYABAS.

“Kenapa perlu Najib suntik wang kepada SYABAS? Kenapa tambah peruntukkan itu, untuk apa? Bagi saya, ia tidak akan selesaikan masalah pengurusan air oleh SYABAS hingga sebabkan bekalan terputus di sekitar Lembah Kelang,” kata Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin apabila dihubungi The Malaysian Insider.

Zuraida juga mengecam langkah Najib yang membuat pengumuman tersebut dikawasannya Ampang serta menyifatkan tindakan tersebut cubaan untuk meraih sokongan dengan mempolitikkan isu air di Selangor.

“Bagi saya ini hanya gimik politik oleh BN untuk meraih sokongan rakyat, ia jelas sebab diumumkan di Ampang,” kata Ketua Wanita PKR itu lagi yang merujuk kepada program yang dihadiri oleh Najib di Ampang hujung minggu lalu.

Dalam pada itu, pemimpin DAP Ronnie Liu menegaskan tiada krisis air di Selangor tetapi sebaliknya pengurusan SYABAS yang berhadapan dengan krisis dan masalah hingga menyebabkan rakyat di Selangor menjadi mangsa kepada kegagalan mereka mentadbir air di Selangor dengan baik.

“Bantuan RM120 juta oleh Najib ini buktikan SYABAS gagal menguruskan air di Selangor.

“Bagaimana negeri lain boleh mendapat untung dan mengekalkan infrastruktur tetapi SYABAS tidak boleh?” soal ahli mesyuarat negeri (exco) kerajaan tempatan, kajian dan penyelidikan itu lagi.

Beliau juga mempersoalkan keupayaan SYABAS dalam mengendalikan dan menyelenggara bekalan air di Selangor memandangkan setiap kali masalah air berlaku pentadbiran Najib terpaksa campur tangan.

“Ini bermaksud SYABAS terpaksa bergantung kepada kerajaan dan Najib untuk mengekalkan perniagaan mereka. Wang diberikan Najib itu tiada kena mengena dengan krisis, tiada krisis air di Selangor,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan pendapat berbeza apabila menyifatkan langkah Najib tersebut sebagai usaha untuk menyelamatkan syarikat kroni daripada terus mengalami kerugian dan mahu Putrajaya menjelaskan bentuk perjanjian dengan SYABAS dalam pemberian bantuan kewangan tersebut.

“Adakah ini untuk menyelamatkan (bail out) dan menebus kerugian yang dialami oleh SYABAS?” kata Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan PAS itu.

“Putrajaya perlu menerangkan dan menjelaskan apakah terma perjanjian dan SYABAS juga perlu memperincikan bentuk penambahbaikan yang akan mereka lakukan. Jika mereka tiada penjelasan, saya rasa tiada gunanya bantuan tersebut, ia sekadar hanya untuk menyelamatkan syarikat kroni,” tambah beliau.

Bantuan kewangan tersebut bukan kali pertama disalurkan oleh kerajaan pusat, malahan pada 2009 pinjaman mudah tanpa faedah bernilai RM320.8 juta dilanjutkan hingga 20 tahun serta kemudiaannya dilanjutkan 20 tahun lagi dengan nilai RM110 juta pada Oktober 2011 diberikan kepada SYABAS.

Kemelut isu air di negeri Selangor berterusan selepas pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) menentang projek Langat 2 diumumkan oleh kerajaan pusat kerana menyifatkan ia berkos tinggi dan menyebabkan negeri tersebut terpaksa meningkatkan tarif air dan terpaksa memungkiri janji mereka untuk memberi air murah, polisi PR yang diperkenalkan selepas memenangi pilihan raya 2008.

Untuk melancarkan proses, Selangor memulakan langkah untuk mengambil alih pada 2009 dengan menawarkan untuk membeli Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS pada harga RM5.7 bilion tetapi kemudiaannya telah ditolak.

Abdul Khalid berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air di Sabak Bernam menyatakan Putrajaya tidak menghalang kerajaan negeri mengambil alih perkhidmatan air menyebabkan kerajaan negeri membuat keputusan tersebut.

Tahun lepas, Abdul Khalid dilaporkan telah meningkatkan tawaran lebih daripada RM9 bilion untuk mengambil alih semua aset dan liabiliti syarikat tersebut termasuk bon.

Awal bulan ini, ribuan pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air berikutan kerosakan sistem pam tambahan di Rumah Pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru.

Gangguan air tersebut antara yang terburuk sejak PR mengambil alih negeri Selangor.

PR memerintah Selangor dan menguasai 10 daripada 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur.

Sumber: TheMalaysianInsider

2 comments:

Anonymous said...

The Fed govt is obviously trying to shore up a failing business entity helmed by their crony multi-million ringgit top management team. Deep inside, Najib, Muhyiddin & others know that the Selangor govt can easily run the SYABAS profitably thus exposing their incompetence in the process.

Anonymous said...

When questioned about his outrageous director's annual remuneration of something to the tune of 4-5 million some years back, a SYABAS's top director responded by saying, "If you want to hire professionals, you have to pay". Today, we see that SYABAS is still depending on Fed Govt support (read: taxpayers' money) to stay afloat and this top director is still unabashedly hanging on to his position. So much for his self-proclaimed professionlism.

top