Selangor Mahu Ambil Alih Syabas

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor telah menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui untuk memaklumkan akan mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari.

Kita berpegang kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sabak Bernam baru-baru ini yang menyatakan kerajaan Pusat tiada halangan untuk kerajaan Selangor mengambilalih perkhidmatan air, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataan media hari ini.

“Justeru,  dalam surat tersebut kita telah memaklumkan bahawa pengambilalihan perkhidmatan industri air akan diteruskan dalam tempoh 14 hari sekiranya pihak kementerian tidak memberi sebarang maklum balas,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, kata Abdul Khalid, kerajaan negeri mendapat aduan dari rakyat bahawa Syabas telah  mengedarkan risalah yang mengkritik kerajaan Selangor dalam isu air.

Katanya,  hasil dari siasatan awal yang kita lakukan didapati kenyataan Syabas tersebut telah dikeluarkan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal Syabas, Ir V Subramaniam.

“Dengan ini Syabas mengeluarkan risalah ini tanpa mendapat persetujuan dan pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah Syabas. Sehubungan itu, sebagai pemegang saham dalam Syabas, kerajaan Selangor mendesak supaya diadakan siasatan dalaman terhadap Subramaniam kerana bertindak melebihi kuasa yang dibenarkan,” tambahnya.

Kerajaan Negeri Selangor juga telah dimaklumkan bahawa mutakhir ini berlaku kekerapan kejadian paip bocor yang memberi kesan terhadap pembekalan air kepada rakyat.

Kerajaan negeri Selangor akan memantau perkara ini dengan serius demi menjaga kepentingan rakyat dan memastikan lebih lima juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak terjejas  dengan  gangguan bekalan air akibat kegagalan Syabas menyelenggara paip dengan baik dan berkala.

Sumber: FreeMalaysiaToday

0 comments:

top