MB: Najib Takut Selangor Urus Air Lebih Baik

SHAH ALAM 14 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak didakwa sengaja tidak mahu serahkan pengurusan perkhidmatan air kepada Selangor kerana bimbang Kerajaan Negeri akan lebih cekap dan kos efektif.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kecekapan Kerajaan Negeri akan membuktikan kegagalan Kerajaan Umno-BN dalam menguruskan utiliti penting ini.

Abdul Khalid berkata, catuan air yang dicadangkan pada Julai tahun lepas oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) adalah meragukan.

“(Kita) tidak menolak kemungkinan ia sengaja dilakukan untuk menyusahkan rakyat dan menanam sikap tidak puas hati terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

“Umno-BN lebih rela membela syarikat kroni konsesi yang ternyata gagal dan cuai dalam mengurus perkhidmatan air daripada memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri untuk mengambilalih pengurusan perkhidmatan air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Syabas kini berdepan dengan krisis pengurusan yang boleh membawa masalah besar kepada rakyat jika konsesi ini terus dibenarkan menguruskan air di kawasan Lembah Klang.

Malah, Najib sepatutnya sepatutnya bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kerajaan Negeri demi memastikan perkara ini tidak berulang.

Sebaliknya, beliau (Najib) telah mengugut bahawa rakyat Selangor akan terus berhadapan dengan masalah air jika tidak menyokong Umno-BN dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Dalam pada itu, rakyat Selangor akan dimaklumkan mengenai maklumat terkini usaha Kerajaan Negeri untuk membantu memulihkan bekalan air bagi kawasan Lembah Klang di beberapa akhbar utama pelbagai bahasa mulai esok.

Maklumat itu bagi membolehkan orang ramai mengetahui langkah yang dilakukan Kerajaan Negeri untuk memulihkan bekalan air kepada lebih 28,000 pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur yang terjejas sejak awal tahun ini.

Ini adalah hasil pemantauan dan pertemuan harian Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor dengan Syabas, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor dan pihak-pihak lain yang terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi juga telah memantau Syabas setiap hari tentang pelan tindakan dan pemulihan air di beberapa kawasan yang terjejas.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top