Kerajaan Pusat Gagal Tunai Janji Bina Hospital

PETALING JAYA 2 DIS : Kementerian Kesihatan didakwa gagal menunaikan janji dalam melaksanakan pembinaan hospital dan klinik yang mencukupi mengikut jumlah penduduk.

Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri berkata, selepas dianalisa Umno-BN hanya mampu menyediakan pembinaan hospital kira-kira hanya 58 peratus.

Sebelum ini, kementerian terbabit menjanjikan menyediakan hospital dengan nisbah dua katil bagi setiap penduduk yang mana dianggarkan sebanyak 60,000 buah katil.

Namun, hasil analisa, setakat ini hanya terdapat 34,794 buah katil daripada 125 buah hospital di negara ini.

Manakala, lebih 10 buah hospital masih dikategori sebagai projek sakit selain masih tidak dibangunkan sedangkan majlis pecah tanah sudah dijalankan.

“Daripada penelitian pihak kami juga, lebih 50 peratus bangunan sudah usang yang mana usianya sudah mencecah lebih 50 tahun.

“Banyak hospital yang dijanjikan dengan perkhabaran baik untuk dibangunkan, ditukar menjadi kompleks hospital baru, namun hakikatnya tiada. Janji ini dilafazkan ketika ingin meraih undi setiap kali pilihan raya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Antara projek hospital yang dijanjikan untuk dinaik taraf ialah Hospital Tanjung Karang, Hospital Parit Buntar, Hospital Sri Aman dan Hospital Lawas, Sarawak.

Manakala, antara projek pembinaan yang masih belum didirikan ialah Hospital Shah Alam, Hospital Dungun, Hospital Pendang, hospital Bandar Baru, Hospital Petra Jaya, Hospital Bera dan Hospital Rembau.

Yahya menambah biro kepenggunaan menyimpulkan bahawa punca kegagalan pembinaan hospital adalah disebabkan terlalu banyak penyelewengan, salah guna dan ketirisan wang rakyat.

“Jika dihitung, jumlah penyelewengan dan salah guna wang rakyat bernilai lebih RM153 bilion.

“Antaranya, skandal PKFZ, komisyen kapal selam, ‘bailout’ konsortium perkapalan milik Mirzan Mahathir, kerugian pembelian aset oleh Sime Darby, pembelian Eurocopter dan sebagainya,” katanya.

Jelasnya, dengan menganggarkan sebuah hospital berkapasiti 100 buah katil dengan nilai projek RM100 juta setiap satu, kekurangan kapasiti katil berjumlah 25,000 itu hanya memerlukan 250 buah hospital.

“Daripada jumlah itu, jumlah anggaran kos pembinaan bernilai RM25 bilion sahaja yang mana sekitar 15 peratus daripada jumlah kehilangan wang rakyat sebanyak RM153 bilion itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yahya mendakwa Kementerian Kesihatan akan menukar skim rawatan pesakit yang mana hospital atau klinik kerajaan akan hanya memberi rawatan sahaja manakala ubat tidak akan dibekalkan kepada pesakit.

“Ia kerana kos ubat yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dianggarkan lebih RM1.2 bilion setiap tahun.

“Perbelanjaan itu dikatakan tinggi dan meningkat sebanyak 10 peratus setiap tahun, maka sistem baru itu akan diperkenalkan di mana pesakit terpaksa menanggung kos ubatan itu sendiri,” katanya.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top