SHAH ALAM 3 JAN : Kerajaan Pusat seharusnya menghormati usaha mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik sebagai pemimpin yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara dengan membenarkan penstrukturan semula industri air di Selangor.

Tambahan pula, mendiang Keng Yaik memainkan peranan penting dengan mengkaji semula dasar penswastaan perkhidmatan air Kerajaan Persekutuan yang dilihat tidak menyebelahi kepentingan rakyat.

“Kerajaan Negeri komited dan berusaha keras untuk meneruskan usaha mendiang yang ingin membetulkan industri perkhidmatan air dengan melaksanakan kehendak WSIA sepertimana diperjuangkan mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik.”

Demikian menurut satu kenyataan daripada Sekretariat Akhbar Menteri Besar Selangor.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mendesak Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan serius bagi melaksanakan penstrukturan semula industri air.

“Kerajaan Persekutuan perlu menghormati usaha mendiang dengan mengembalikan hak air kepada rakyat dan membenarkan kerajaan Selangor menguruskan perkhidmatan air untuk kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Datuk Seri Peter Chin Kah Fui perlu memikul tanggungjawab ini selaras dengan kuasa yang ada padanya mengikut WSIA,” ujar kenyataan itu lagi.

Mendiang Keng Yaik merupakan Menteri Kabinet yang bertanggungjawab memperkenalkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) yang mengembalikan hak air kepada kerajaan negeri.

“Beliau pernah mengetuai kementerian yang berlainan seperti kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

“Namun beliau sentiasa berusaha gigih membuat kajian dan persediaan supaya setiap keputusan yang dibuat relevan dengan perubahan semasa,” kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak berpeluang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang kerana berada di luar negara.

Bagaimanapun, Menteri Besar berkesempatan menziarahi keluarga mendiang Keng Yaik sebagai tanda penghormatan terakhir.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top