Selangor Tutup AES Jumaat Ini

SHAH ALAM 5 DIS : Kerajaan Negeri akan menutup dua kamera Automated Enforcement System (AES) di kawasan Sepang Jumaat ini dengan sarung setelah tidak mendapat maklumbalas daripada Kementerian Pengangkutan.

Dengan langkah itu, kedua-dua kamera tersebut tidak akan dapat berfungsi dan sekiranya Kementerian masih tidak memberi respon di dalam dua minggu, Kerajaan Negeri akan menanggalkan kedua-duanya.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu Majlis Perbandaran Sepang (MPSP) sebelum ini telah menulis surat kepada kementerian untuk membetulkan tatacara permohonan dan mendapat kebenaran untuk memasang kamera tersebut.

“Namun surat oleh YDP (Yang Di Pertua) MPSP langsung tidak diendahkan,” ujar beliau dalam satu sidang media di sini.

Sementara menunggu penjelasan daripada Kerajaan Pusat, beliau berkata Kerajaan Negeri akan bertindak menutup Kamera AES dengan sarung supaya tidak dapat berfungsi bermula Jumaat ini.

Pada Nov 9, Abdul Khalid mengumumkan bahawa Selangor akan menangguhkan perlaksanaan sistem AES di Selangor sehingga Kerajaan Selangor berpuashati dengan cara perlaksanaannya.

Beliau dilaporkan berkata perlaksanaan sistem itu adalah untuk menguntungkan syarikat tertentu berbanding mengurangkan kadar kemalangan.

Abdul Khalid mendakwa sistem tersebut akan mengkayakan syarikat yang mendapat konsensi untuk memasang dan mengendalikan sistem tersebut.

Menurutnya, syarikat konsesi projek AES bakal meraih keuntungan yang besar sekurang-kurangnya sebanyak 17 peratus setahun.

“Jika masih tiada jawapan, kita juga akan bertindak untuk menanggalkan kamera-kamera tersebut,” tegasnya.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top