SHAH ALAM 17 DIS : Sejak mengambil alih pemerintahan negeri pada tahun 2008, lebih 20 buah rumah ibadat bukan Islam telah dibina di Selangor.

Kesemua pembinaan rumah ibadat tersebut mendapat kelulusan Kerajaan Negeri dan telah siap dibina serta digunakan tanpa sebarang masalah.

Sehubungan itu, Exco Kerajaan Negeri, Dr. Xavier Jayakumar menjelaskan isu perobohan kuil di Sepang baru-baru ini bukanlah suatu tindakan yang melambangkan dasar Kerajaan Negeri.

“Sekiranya rumah-rumah ibadat ini didirikan dengan pengetahuan Kerajaan Negeri, saya tidak fikir akan timbul masalah selagi ianya mengikut dasar dan garis panduan yang diberi.

“Namun, jika ianya dibina tanpa pengetahuan kita (Kerajaan Negeri) dan kemudian menghadapi masalah, kita perlukan masa untuk teliti pelbagai aspek bagi sebarang tindakan,” jelas beliau yang juga Adun Sri Andalas.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa seramai 30 pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) merobohkan rumah ibadat yang dibina di dalam perkarangan di dalam sebuah rumah di Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi.

Tindakan itu dikecam oleh masyarakat Hindu yang berkata pegawai MPSp tidak sepatutnya bertindak demikian.

Dr. Xavier berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri pada minggu hadapan.

“Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah mempunyai laporan lengkap yang akan dibentangkan.

“Laporan ini penting untuk kita menilai adakah pelanggaran undang-undang ada berlaku selain kita perlu bersikap adil dalam mengambil keputusan.

“Kita akan teliti dan putuskan samada perlu atau tidak tindakan diambil serta bentuk-bentuk tindakan jika ada,” tambahnya lagi.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top