KUALA SELANGOR, 15 DIS : Kerajaan Selangor sudah membelanjakan lebih RM 600 juta untuk program kebajikan rakyat di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Program-program ini termasuk bantuan khairat kematian dan Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan caruman Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walaupun Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah besar untuk program itu namun simpanan Rizab Tunai Kerajaan Selangor turut bertambah yang kini melebihi RM 2 bilion.

“Jadi maknanya walaupun Kerajaan Selangor berbelanja banyak tetapi tetap ada simpanan sebab kita tahu ke mana wang itu dibelanjakan.

“Apa duit yang Kerajaan Selangor belanjakan rakyat boleh melihat ketelusannya.

“Dengan cara itu rakyat akan bersama-sama dalam pembangunan itu, sekarang rakyat boleh kata itu ‘duit kita’,” kata Abdul Khalid.

Katanya, Kerajaan Selangor mempunyai sistem rekod warga emas yang efektif berbanding kerajaan terdahulu di mana sistem ini akan memudahkan penyaluran bantuan.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian bantuan SMUE di Pekarangan Pejabat Khidmat DUN Ijok, Ijok di sini.

Abdul Khalid bersama isteri,Puan Sri Salbiah Tunut bersama-sama menyampaikan SMUE itu kepada 47 orang penerima bagi Fasa Kedua kawasan Ijok berjumlah RM 1,000.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan dan Pegawai Daerah Kuala Selangor yang baru Mohamad Yasid Bidin.

Yasid juga sebelum ini pernah berkhidmat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu penerima SMUE, Mohd Sahar Sadri,43, berkata, usaha Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat (PR) itu wajar dicontohi negeri-negeri lain.

“Memang bagus program SMUE ini dan saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat  yang mengusahakan skim ini kerana ia juga dapat meringankan sedikit bebanan kepada pihak waris,” katanya.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top