SHAH ALAM 24 JULAI : Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa tiada keperluan untuk mencatu air di Selangor ketika ini adalah bukti isu air sengaja dijadikan gimik politik dalam usaha memburukkan imej Kerajaan Negeri.

Exco Selangor, Elizabeth Wong dalam satu kenyataan berkata, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pula menjadi alat Umno-BN untuk terus menekan Kerajaan Negeri meluluskan projek Langat 2.

“Kerajaan Pusat tiada perancangan bagaimana Langat 2 akan menyelesaikan kekurangan air sedangkan Kerajaan Negeri telah menyediakan pelan menerusi projek mitigasi air bernilai RM 225 juta.

“Sudahlah tiada pun penyelesaian kukuh dalam menambahbaik bekalan dan pengurusan air terawat, mereka cuba pula mensabotaj usaha Kerajaan Negeri melakukan perkara betul demi melindungi kepentingan rakyat,” jelas Elizabeth yang juga Adun Bukit Lanjan.

Menurut beliau lagi, tindakan Kerajaan Pusat menghalang usaha Kerajaan Negeri jelas menunjukkan Kerajaan Umno-BN mementingkan keuntungan syarikat kroni mereka berbanding keperluan rakyat.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti Timbalan Perdana Menteri dalam mempengerusikan Jawatankuasa Khas menangani isu air.

“Sedangkan sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Besar Johor, beliau telah menjadikan tarif air di negeri itu antara tertinggi di negara ini sehingga memaksa rakyat Johor berdepan dengan tarif air pada kadar tidak munasabah.

“Kerajaan Umno-BN mungkin mahu menggadaikan hak rakyat Johor, tetapi kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan berdiam jika ada pihak yang mengambil untung atas kesusahan rakyat,” tegasnya.

Sehubungan itu, Elizabeth menyeru rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bangkit mempertahankan hak mereka dan mengelak daripada terus dimanipulasikan pihak berkepentingan.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top