Talian Bebas Tol Bagi Atasi Masalah Air

SHAH ALAM 25 JUL : Orang ramai yang mengalami masalah gangguan air boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2824 untuk tindakan segera Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri juga akan menyediakan tangki-tangki ke kawasan-kawasan yang bertahun-tahun mengalami kekurangan air, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tangki dan talian aduan tersebut antara inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri bagi mengatasi gangguan bekalan air yang disebabkan kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengurus air terawat.

“Talian ini dahulunya disediakan untuk aduan masalah sampah awal tahun lalu dan kini kita membuka talian untuk aduan masalah air,” ujarnya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco sebentar tadi.

Selain itu, beliau turut memberitahu Kerajaan Negeri akan menghantar pasukan pemantau untuk bertemu rakyat dalam menghadapi isu air ini.

“Saya meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama dengan anggota EXCO Negeri bertemu rakyat bagi mencari penyelesaian masalah air,” tambah beliau.

Dalam isu berkaitan, Abdul Khalid berkata sebarang permohonan berkaitan Projek Langat 2 harus dirujuk terus dan mendapat kelulusan hanya daripada Menteri Besar.

“Kita tidak masuk campur urusan Kerajaan Pusat jika mereka ingin meneruskan namun mereka tetap perlu berdepan kelulusan kita dalam perkara tertentu.”

Pada Julai 16, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kerajaan Pusat sanggup mengeluarkan dana bagi menyiapkan projek pemindahan air Langat 2.

Kerajaan Selangor berpendirian projek RM 6 bilion menelan belanja yang terlalu tinggi dan hanya patut dilakukan selepas Kerajaan Negeri mengambilalih industri air Selangor.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top