SHAH ALAM 9 JULAI : Kerajaan Negeri akan memberi pengurangan cukai pintu sebanyak 25 peratus kepada penghuni rumah pangsapuri kos rendah di seluruh Selangor yang akan dilancarkan selewat-lewatnya Ogos nanti.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu sidang media sejurus selesai Hari Zon Bersih Bulan Julai peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

“Langkah pertama, kita akan meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Selangor untuk mengenalpasti mana-mana kawasan pangsapuri kos rendah, seterusnya memberikan semua maklumat itu kepada Kerajaan Negeri.

“Walaubagaimanapun, kita cuma akan memberi tawaran ini kepada penghuni yang menghuni rumah tersebut sahaja, jika disewakan, peluang ini tidak ada,” jelas beliau.

Menurutnya, sumber kewangan bagi memberi pengurangan cukai tersebut datangnya daripada penjimatan yang Kerajaan Negeri perolehi kesan daripada pengurusan penyelenggaraan sampah sendiri tanpa menggunakan khidmat Alam Flora.

“Hasil penjimatan, kita memperolehi kira-kira RM 100 juta di seluruh Selangor, manakala untuk Shah Alam sahaja kita berjaya jimat RM 30 juta.

“Hasil inilah yang dapat kita salurkan semula kepada rakyat dengan pengurangan cukai pintu kepada penghuni pangsapuri kos rendah seluruh negeri,” tambahnya lagi.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top