Kumpulan Profesional Teliti Operasi Harian SYABAS


KUMPULAN PROFESIONAL TELITI OPERASI HARIAN SYABAS

Kerajaan Negeri akan menghantar satu kumpulan profesional untuk meneliti operasi harian Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) bagi mengenal pasti keadaan semasa air terawat di Selangor.

Kumpulan profesional ini dianggotai oleh Suhaimi Kamaruzaman (Ketua Pengawai Eksekutif KDEB), Ir Abas Abdullah (Pengarah ABASS), Karim Endut, (Pengurus Besar Pengurusan Air, Kumpulan Perangsang Selangor) dan Kevin Lee (Ketua Perancangan Strategik dan Pelaburan, Perangsang Selangor).

Kumpulan profesional ini dihantar kerana SYABAS gagal memberi penjelasan terperinci dan memuaskan dalam beberapa isu ketika syarikat tersebut memberi taklimat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, pagi tadi.

Kerajaan Negeri Selangor yakin kumpulan ini akan dapat bekerjasama dengan SYABAS kerana semua anggotanya berpengalaman luas dalam operasi dan pengurusan air.

Sementara itu, Kerajaan Negeri juga sudah menyediakan surat untuk memaklumkan hasrat kerajaan Selangor untuk ‘step in’ dalam pengurusan SYABAS kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. 

Ahli EXCO Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok akan mengetuai delegasi untuk menghantar surat ini ke Putrajaya pada petang ini secara peribadi kepada KETTHA kerana Kerajaan Negeri berpendirian bahawa isu ini penting diselesaikan dengan segera demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kita berharap SYABAS dan Kerajaan Pusat tidak menyalahgunakan isu air untuk menyusahkan rakyat terutama kepada umat Islam yang akan mula berpuasa hujung minggu ini.

Kerajaan Selangor konsisten dengan pendirian bahawa penstrukturan semula industri air merupakan penyelesaian holistik serta menguntungkan rakyat seperti yang dihasratkan dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006.

TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

1 comments:

Anonymous said...

Yes, teach the bumno-mca bastards a good lesson. And disconnect the water supply to their houses.

top