SHAH ALAM 23 JULAI : Kerajaan Negeri bersedia membuat “referendum” atau pungutan suara bagi mendapatkan pandangan rakyat Selangor berhubung hasratnya untuk mengambil alih operasi Syarikat bekalan Air Selangor (Syabas).

Cadangan ini disuarakan oleh Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar yang berkata rakyat Selangor mempunyai kepentingan dalam usaha ini memandangkan ia melibatkan penggunaan wang rakyat.

“Kita bersedia untuk melaksanakan pungutan suara rakyat dimana rakyat boleh mengundi secara langsung dan menentukan samada untuk menerima atau menolak hasrat Kerajaan Selangor mengambil-alih SYABAS.

“Kita tahu kita di pihak yang benar, dan kita yakin rakyat Selangor mempercayai kerajaan yang mereka pilih,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor berhasrat untuk mengambilalih Syabas, syarikat swasta yang bertanggungjawab untuk mengurus operasi rawatan dan pengedaran air di Selangor.

Usaha mengambilalih atau “step-in” itu dilakukan apabila Syabas dilihat gagal dalam mengurus bekalan air terawat di Selangor.

Namun usaha itu mendapat tentangan daripada kerajaan persekutuan apabila semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata permintaan untuk Selangor step-in ke Syabas tidak diluluskan.

“Kerajaan Negeri Selangor amat bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawabnya untuk rakyat Selangor.

“Kita komited kepada hakikat bahawa air yang tidak berhasil (NRW) harus dikurangkan ke paras bawah 20 peratus dan tarif air haruslah adil dan berpatutan.

“Kita yakin Selangor mampu mengekalkan kos sekitar kenaikan 12 peratus untuk pengguna,” kata Xavier.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top