Isu Air Selangor: MB Bidas NGO Tidak Pro Pengguna

SHAH ALAM, 2 JUL: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini melahirkan rasa kesal dan hairan apabila terdapat segelintir Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mengambil pendirian yang merugikan pengguna air di Lembah Klang.

Sebaliknya menurut Abdul Khalid, segelintir NGO terbabit mengambil sikap menyebelahi syarikat konsesi pengurusan air di negeri itu untuk terus mengaut keuntungan melampau dari hasil industri air Selangor.

“Ini politik. Ada NGO kononya berjuang untuk mempertahankan kepentingan pengguna, tetapi mempertahankan kemahuan syarikat konsesi pengurusan air menaikan tarif air,” sukar untuk dipercayai.

“Saya beritahu kepada NGO, NGO berjuangan untuk pengguna jadi sewajarnya mereka berjuang untuk mendapatkan harga terbaik untuk pengguna.

“Tentulah ini ada yang tidak kena,” kata Abdul Khalid dalam sidang medianya selepas merasmikan Dialog Bajet Selangor 2013 hari ini di Hotel Grand Dorsett, di Subang Jaya.

Beliau juga menggesa agar rakyat Selangor membuat pilihan yang tepat dalam menentukan pihak yang mana layak diberi hak untuk mengurus air Selangor.

“Ia mudah, kalau rakyat mahukan tarif air naik hingga 75 peratus, pilih mereka, tetapi kalau mahu tarif air rendah pilih kami, itu sahaja, mudah,” katanya merujuk kepada pilihan yang bakal dibuat oleh pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Abdul Khalid juga memberi jaminan tarif air di Selangor tidak akan dinaikkan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat kecuali tidak melebihi 12 peratus dalam masa lima tahun.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top