SHAH ALAM 3 JUL: Dialog Bajet Selangor 2013 yang dipelopori oleh Kerajaan Negeri Selangor diadakan bertujuan menyelami suara dan hasrat masyarakat akar umbi negeri itu.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika merasmikan dialog yang bertajuk ‘Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia’ di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pagi semalami.

“Tujuan dialog ini diadakan supaya kita dapat pandangan, penelitian dan beberapa isu dari pemilik negeri iaitu rakyat daripada penjawat awam, ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung yang mana mereka sangat rapat dengan rakyat akar umbi.

“Mereka ini dapat membangkitkan isu-isu yang patut diberi penekanan dalam usaha mentadbir urus belanjawan Negeri Selangor,” ujar Abdul Khalid di hadapan kira-kira 500 wakil masyarakat, agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Abdul Khalid juga memberitahu dialog bajet ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan menjadi sebagai sebahagian tradisi pentadbiran Negeri Selangor.

Menurutnya bajet yang bakal dibentangkan nanti bukanlah bajet pilihan raya seperti mana yang sering dilakukan oleh Kerajaan Pusat.

“Tiada isu bahawa bajet hanya tertumpu kepada pilihan raya sahaja sebab sesuatu belanjawan ini akan memberi kesan kepada belanjawan tahun-tahun seterusnya, sebagai contoh, pendidikan, ia perlukan usaha lebih 15 tahun,” katanya.

Tindakan Kerajaan Pusat yang kebelakangan ini mengumumkan beberapa bantuan untuk rakyat juga dianggap sebagai tindakan minit terakhir yang boleh dianggap terlewat.

“Sepatutnya bantuan yang diumumkan kerajaan pusat ini dibuat sejak 2008 lagi, tetapi bila baru sekarang diumumkan ia memberi indikasi kurang baik di mata rakyat,” katanya lagi.

Tindakan Kerajaan Pusat itu berbeza berbanding pendekatan Kerajaan Selangor yang melaksanakan agenda dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES) yang diatur sejak mula mengambilalih pentadbiran negeri ini.

Menteri Besar juga memberikan penekanan terhadap kepentingan perbincangan dua hala antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat dalam menentukan hala tuju masyarakat negara ini.

“Kalau di Australia kerajaan tempatan misalnya adakan perbincangan dengan Kerajaan Pusat, begitu juga di negara barat lain, tetapi ini sukar dilaksanakan di Malaysia,” ujar Khalid.

Dalam program yang berlangsung dari selama dua hari, 2 hingga 3 Julai ini, beberapa kertas kerja akan dibentangkan oleh ahli profesional dalam kepakaran bidang masing-masing.

Selain Menteri Besar, turut hadir dalam dialog dan bertindak sebagai moderator dialog termasuk exco-exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail, Dr Halimah Ali, Iskandar Samad, Dr Xavier Jayakumar, Ronnie Liu dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Selain itu turut hadir dalam majlis dialog sama adalah Ahli Exco, Teresa Kok, Dr Yaakob Sapari, Lee Kim Sin, Ng Sue Lim dan Pengarah Startegi PKR Mohd Rafizi Ramli.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top