KLANG, 16 JUN : Sebanyak RM20 juta boleh dipulangkan kepada penduduk Klang jika mereka membantu menjaga kebersihan bandar ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Jumlah tersebut merupaka satu pertiga daripada RM60 juta yang diperuntukan untuk pembersihan sampah di Klang dan boleh dijimat sekiranya warga Klang mengamalkan budaya bersih.

“Jika rakyat turut serta membantu Kerajaan Negeri, kos yang dapat dijimatkan adalah sebanyak RM20 juta dan ianya adalah suatu jumlah yang besar untuk pelbagai program untuk rakyat.

“Kerajaan Negeri tidak akan mengambil lebihan penjimatan peruntukkan yang diberikan, sebaliknya diberikan kepada rakyat sebagai tanda terima kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya di Program Penerangan Geran Selangorku di Dewan Orang Ramai Taman Sri Kerayong Kapar semalam.

Serentak dengan itu, Abdul Khalid turut melancarkan poster Kesedaran Penjagaan Kebersihan dalam Bahasa Asing seperti Nepal, Bangladesh, Indonesia dan Burma.

Turut hadir barisan Exco-exco Selangor iaitu, Dr. Halimah Ali, Dr. Xavier Jayakumar, Dr. Yunus Hairi, Rodziah Ismail, Iskandar Abdul Samad dan Dr. Yaakob Sapari.

Juga hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ehsan Mukri dan Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin.

Pada satu program yang lain, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri komited dalam pembangunan Klang kerana ia bandar penting yang menyumbang terhadap kemajuan Selangor.

Beliau berkata jumlah penduduk Klang mewakili 20 peratus daripada 5.2 juta rakyat Selangor, iaitu kira-kira 1.5 juta orang termasuk rakyat asing.

Menurutnya, pembangunan yang dirancang demi kepentingan rakyat dan tidak berdasarkan keutamaan peribadi atau agenda politik.

“Marilah kita bersama-sama membangunkan Klang dan membawa satu perubahan penting dalam pembangunan ini.

“Ini kerana pendapatan dan pembangunan Klang adalah melebihi Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya dalam ucapan majlis Jamuan Bersama Rakyat di Bandar Bukit Tinggi di sini hari ini.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top