KLANG 15 JUN : Forum air Selangor pada 12 Jun lalu diadakan adalah untuk mencari jalan terbaik mengurus air bagi memastikan bekalan air bersih di Lembah Klang mencukupi untuk rakyat Selangor pada harga yang berpatutan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata forum itu juga turut membincang masalah bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu itu.

“Forum itu bukan untuk membuat keputusan seperti yang didakwa Kerajaan Pusat tetapi ia hanya perbincangan,” katanya yang mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar yang mendakwa penganjuran forum mengenai isu air oleh Kerajaan Negeri Selangor itu dilihat tidak dapat menyelesaikan masalah rizab air terawat yang semakin berkurangan di Selangor.

Malah kata Noh, forum sedemikian tidak mampu membawa penyelesaian kepada masalah air terawat di Selangor yang menyebabkan kerajaan pusat dan Syabas enggan turut serta dalam perbincangan tersebut.

Khalid berkata Kerajaan Negeri juga mempunyai sebab tidak memanggil pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

“Saya ada jawapan kenapa mereka tidak dijemput, hal ini kerana Syabas mempunyai kes mahkamah dan kita tidak mahu Syabas menyertai forum itu.

“Yang kedua, forum itu merupakan perbincangan bukan keputusan, perbincangan untuk mencari penyelesaian dengan golongan profesional dan Kementerian tidak mahu menyertainya kerana dikatakan bukan keputusan,” katanya.

Beliau berkata selepas ini, Kerajaan Negeri akan membawa hasil perbincangan itu kepada Kementerian dan jika pihaknya tidak bersetuju, Kerajaan Negeri akan membuat satu forum awam.

“Apa yang boleh dikatakan, daripada forum itu kita sudah ada keputusan dan akan dibentangkan kepada Kementerian.

“Jika selepas ini mereka tidak bersetuju kita akan adakan satu forum awam. Forum ini akan melibatkan rakyat dan semua pihak.

“Pihak Syabas juga boleh menghantar wakil untuk menjelaskannya kepada rakyat berkenaan keputusan mereka begitu juga dengan Kerajaan Negeri. Sesiapun boleh bercakap dalam forum itu nanti,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri juga tidak gentar dengan Syabas walaupun pihaknya tahu Syabas dan Puncak Niaga ‘membayar’ pihak itu kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menyokong mereka.

“Apa yang saya lakukan adalah untuk rakyat. Rakyat mahu harga yang berpatutan dan jika Kementerian tetap dengan pendirian mereka, kita bincang serta bagi mereka alternatif,” katanya.

Katanya kerajaan negeri akan terus memperjuangkan isu air bagai memastikan usaha pemberian air percuma kepada rakyat dapat di teruskan di masa akan datang.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top