KUALA SELANGOR, 22 DIS : Yayasan Selangor akan memperuntukkan RM782,000.00 bagi membiayai pinjaman pelajaran kepada pelajar-pelajar Kolej Antarabangsa INSPENS (INSPENS) pada tahun depan.

Pinjaman tersebut adalah bagi pelajar di peringkat sijil dan diploma. Ia melibatkan RM430,000.00 untuk pelajar-pelajar baharu dan RM352,000.00 untuk pelajar sedia ada.

Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor YM Raja Amir Shah Raja Abdul Aziz berkata usaha ini sejajar dengan penubuhan Yayasan Selangor 41 tahun dulu bagi menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti dan bersepadu.

"Sememangnya Kolej Antarabangsa INSPENS adalah sangat dekat di hati Yayasan Selangor dan sentiasa diberi keutamaan dalam berbagai perkara terutama pemberian pinjaman pelajaran kepada pelajar-pelajarnya.

Yayasan Selangor telah menaja sebanyak RM6.0 juta yang melibatkan penajaan seramai 588 pelajar yang telah tamat dan masih meneruskan pengajian di INSPENS," katanya semasa majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Yayasan Selangor dan INSPENS di sini.

Menurut Raja Amir Shah memorandum persefahaman yang ditandatangani itu adalah simbolik kepada usaha sama Yayasan Selangor dan INSPENS bagi tahun 2012 untuk membantu pelajar yang berpendapatan rendah.

"Yayasan Selangor telah menyediakan pembiayaan pendidikan kepada seluruh rakyat negeri Selangor yang kurang berkemampuan sejak tahun 1984. Seramai 9,116 pelajar telah menikmati skim ini.

"Yayasan Selangor juga telah mengeluarkan perbelanjaan lebih RM69 juta untuk pembiayaan pendidikan pelajar di pusat pengajian tinggi sama ada di peringkat sijil,diploma dan ijazah," katanya.

Sementara itu Presiden Kolej INSPENS Datuk Mohd Mydin Mohd Shariff berkata memorandum persefahaman ini adalah untuk mengukuhkan persefahaman, bantuan dan sokongan khidmat antara Yayasan Selangor dan INSPENS pada masa akan datang.

"Salah satu cara terbaik untuk mengatasi kemiskinan bukan memberi wang kepada anak-anak atau ibu-bapa tetapi memberi mereka peluang belajar di kolej INPENS, supaya apabila mereka keluar mereka boleh berdikari dan dapat membantu kembali keluarga," katanya.

Dalam majlis itu juga, pihak Yayasan Selangor mengumumkan menyumbang empat buah kenderaan kepada Jabatan Automotif INSPENS berupa sebuah bas jenis Isuzu,sebuah Van jenis Inocom, sebuah kereta Proton Waja dan sebuah motorsikal jenis EX5 untuk kegunaan pembelajaran pelajar INPENS.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top