Selangor Sokong Kempen Anti-Lynas

SHAH ALAM, 21 DIS : Kerajaan Selangor akan menganjurkan majlis makan malam bulan depan bagi mengutip dana untuk kempen menghalang pelaksanaan projek Loji Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) yang beroperasi di Pahang.

Majlis pada 7 Januari itu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) merupakan inisiatif permulaan di Selangor yang bakal mengumpulkan pihak prihatin terhadap isu projek loji Lynas di Kuantan.

Difahamkan dana yang dikumpul bakal digunakan bagi menbiayai usaha membawa syarikat Lynas ke mahkamah.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping berkata kempen yang dikenali sebagai 'Anti-Lynas' ini turut mendapat kerjasama daripada barisan pimpinan Exco Selangor lain dan dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat oleh negeri-negeri lain.

"Kerajaan Selangor menganjurkan kempen ini sebagai salah satu usaha padu untuk menyokong kempen ini secara berterusan. Saya juga difahamkan majlis makan malam ini akan bergerak ke negeri lain.

Antara pemimpin yang akan menyertai majlis itu adalah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dan beberapa pemimpin lain," katanya.

Projek Lamp yang dijadual beroperasi sepenuhnya September tahun ini mendapat bantahan orang ramai di Kuantan dan seluruh negara kerana apabila ia beroperasi kelak ia akan menghasilkan sisa radioaktif thorium yang merbahaya kepada penduduk sekitar.

Pelbagai usaha dilakukan untuk menghalang pembinaan loji itu namun ia sehingga kini tidak diberikan perhatian serius oleh kerajaan negeri.

Loji itu kini dihentikan sementara menantikan penilaian satu panel pro-nuklear yang dilantik Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Mosti).

Difahamkan, sekiranya projek itu diluluskan barisan panel tersebut, loji yang dikendalikan Lynas Corporation itu akan menghasilkan sisa radioaktif thorium.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya projek loji berkenaan disebabkan ia tidak selari dengan pembangunan lestari di negeri itu.

Beliau berkata, Akademi Sains semalam memaklumkan kepadanya bahawa negeri itu akan mendapat pelaburan teknologi hijau berkuasa tinggi hasil daripada pemprosesan nadir bumi yang dilaksanakan.

Tambahnya, pihak Akademi mendakwa ia adalah peluang terbaik bagi Malaysia untuk menyertai projek perhiliran berbekalkan teknologi canggih yang pernah dihasilkan.

"Saya ingin menyangkal kenyataan tersebut kerana hakikatnya Malaysia tidak mempunyai nadir bumi yang mencukupi. Malaysia hanya memiliki 0.03 peratus nadir bumi di dunia ini. Maksudnya, nadir bumi yang digunakan itu bukannya datang dari Malaysia, sebaliknya dari Australia dan negara lain.

Justeru, kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Akademi berhubung perkara berkenaan adalah tidak relevan sama sekali," tegasnya.

Sehubungan itu, dana yang diperoleh daripada kempen itu nanti akan digunakan bagi membawa kes tersebut ke mahkamah.

Dalam pada itu, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Malaysia, Zulkefly Mohamad Omar menjelaskan, pembinaan projek loji Lamp bukan sahaja merugikan rakyat, bahkan akan meninggalkan kesan buruk kepada alam sekitar untuk jangka masa panjang.

Ia merujuk kepada pengurusan sisa pepejal dan cecair yang mengandungi elemen radioaktif yang akan menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan berhampiran ekoran daripada pencemaran alam sekitar yang serius.

"Bagi kita khususnya dari kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, kita melihat bahawa isu alam sekitar dan nyawa rakyat merupakan isu terpenting berbanding isu lain kerana ia melibatkan kehidupan.

Dengan berjayanya projek Lynas di Pahang, tidak mustahil mereka akan membina projek yang sama di negeri-negeri lain memandangkan keuntungan yang bakal diperolehi itu besar.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top