SHAH ALAM, 9 NOVEMBER : Bajet 2012 Selangor yang dibentangkan  oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memperuntukkan sejumlah RM1.6 bilion iaitu kenaikan 11.89 peratus berbanding RM1.430 billion pada 2011 yang bertemakan Selangorku: Hasil Negeri Untuk Rakyat dalam usaha mengagihkan kekayaan negeri demi membela rakyat.

“Ini kali keempat berturut-turut kerajaan negeri membentangkan belanjawan berimbang sejak mengambil alih pentadbiran Selangor pada Mac 2008.

Belanjawan ini sebagai kesinambungan dan mengukuhkan kepada usaha-usaha mengagihkan kekayaan negeri di bawah dasar Hasil Negeri Untuk Rakyat  menerusi program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor,” kata Abdul Khalid semasa pembentangan Bajet 2012 di Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor ( DUN) di sini.

Menurut Abdul Khalid ,daripada jumlah ini, RM1 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM600 juta atau RM0.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Daripada RM1 bilion untuk perbelanjaan mengurus, sebanyak RM323,085,383 (32.3%) untuk emolumen; bekalan dan perkhidmatan RM371,387,272  ((37.1%), pemberian dan kenaan bayaran tetap RM284,182,697 (28.4%), aset RM8,079,568 (0.8%) dan belanja lain RM13,265,080 (1.5%).

Daripada  RM600 juta untuk perbelanjaan pembangunan, sebanyak RM411,091,860 atau 68% diagihkan untuk sektor infrastuktur,  RM 100,060,130 (17%) untuk sektor sosial,  RM84,240,010 atau 14% untuk sektor ekonomi dan RM4,608,000 atau 1% untuk sektor perbandaran.

“Hasil Negeri pada 2012 dijangka terus bertambah dengan Hasil Cukai meningkat 8.23% atau RM43,694,000 kepada RM574,674,000 berbanding RM530,980,000 pada 2011.

Hasil Bukan Cukai pula bertambah sebanyak RM187,439,380 atau 40.12% kepada RM654,603,740 berbanding RM467,164,360.
Bagaimanapun, Terimaan Bukan Hasil  dijangka berkurangan daripada RM431,855,640 kepada RM370,722,260 iaitu pengurangan 14.16% atau RM61,133,380,” katanya.

Menurut Abdul Khalid lagi, Bajet 2012 akan meneruskan program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor menggunakan hasil negeri bagi Fasa Ketiga termasuk memperkenalkan program baru iaitu Elaun Anak ke Nurseri dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) diperuntukkan RM7.5 juta, Hadiah Anak Masuk Universiti RM7.7 juta, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) RM20.7 juta, Pusat Khidmat Sehenti RM50,000 dan Skim Kesihatan Wanita RM1 juta.

Pemberian 20 meter air percuma setiap bulan yang memberi manfaat kepada lebih 4 juta pengguna di Selangor akan diteruskan dengan dibiayai oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak hakikat bahawa Projek Penyaluran Air Mentah ke Selangor boleh memberikan tambahan bekalan air yang diperlukan tetapi perlu dibincangkan secara bersama dengan penstrukturan semula industri air.

Sekiranya cadangan penstrukturan ini diterima, kenaikan tarif air sebanyak 71% oleh SYABAS dapat dielakkan malah pengguna juga mendapat perkhidmatan lebih cekap, berkualiti serta  kenaikan tarif hanya berlaku pada kadar minima yang tidak membebankan rakyat,” katanya.

Sumber: Selangorkini

0 comments:

top