Selangor Bangun ‘Workfare Information System’

SHAH ALAM 13 JULAI – Selari dengan dasar kerajaan “Dari kebajikan kepada berdikari” (Wellfare to workfare), kerajaan Selangor akan membangunkan satu sistem yang dikenali sebagai “Workfare Information System” untuk memberi fokus kepada golongan rakyat miskin atau asnaf bagi menjana ekonomi dengan memberikan bantuan serta peluang pekerjaan dan perniagaan dengan bimbingan khusus dari kerajaan negeri.

Menjawab pertanyaan mulut daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi tentang status terkini perancangan sistem tersebut, Exco Kerajaan Negeri Selangor Rodziah Ismail menjelaskan keutamaan akan diberikan kepada golongan-golongan terpinggir, pekerja kurang mahir dan berpendapatan rendah untuk menjana ekonomi sendiri melalui bantuan modal asas dan latihan yang disediakan.

Ujar Rodziah, melalui penceburan dalam bidang-bidang tertentu, mereka akan dapat menjana serta mempertingkatkan pendapatan sendiri supaya taraf hidup mereka berubah dari semasa ke semasa selain berupaya menjalani kehidupan sama seperti warga Selangor yang lain.

Selain itu menurut beliau dengan adanya sistem ini, maklumat-maklumat graduan dari keluarga miskin yang merupakan rakyat Selangor dapat dikumpulkan.

“Kerajaan negeri akan memberi fokus kepada graduan yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan yang akan diberikan bimbingan, latihan dan kemahiran melalui program mentor-mentee bagi membaiki diri mereka untuk mempunyai kesungguhan yang tinggi, berdaya saing dan mempunyai sikap jati diri yang positif.

Kursus-kursus motivasi juga akan diberikan kepada mereka bagi mengubah minda mereka supaya lebih berwawasan dan menjadikan mereka berupaya membina hala tuju kehidupan ke arah positif,” katanya.

Jelas Rodziah, sistem maklumat Workfare ini juga akan membangunkan satu pangkalan data bersepadu yang akan mengintegrasikan maklumat berkaitan bantuan kerajaan negeri Selangor yang telah disalurkan kepada rakyat bagi merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan tanpa ada pertindihan bantuan.

Beliau berkata, perolehan dan peruntukan kos untuk membangunkan sistem tersebut diluluskan Perbendaharaaan Negeri Selangor dan Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat dalam proses mengumpulkan data-data daripada kesemua agensi kerajaan yang telah dikenalpasti.

“Kita juga mendapatkan maklumat dan membuat beberapa sesi lawatan kepada agensi-agensi yang terlibat secara langsung dalam memberikan bantuan dan menyediakan keperluan sistem dan seterusnya membuat perolehan pembangunan sistem secara tender terbuka,” ujar beliau.

Menurut Rodziah, sistem ini akan dilaksanakan secara web-based iaitu mewujudkan satu portal khusus yang memberi bantuan kepada rakyat Selangor dan boleh diakses mana-mana agensi atau jabatan atau Pusat Khidmat Dun yang diberi kebenaran untuk mengakses maklumat ini oleh kerajaan negeri seperti mana sistem Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Rodziah berkata, ianya boleh dijadikan perancangan agensi untuk menyalurkan bantuan dan memudahkan Pusat Khidmat Dun serta agensi pemberi bantuan memilih penerima bantuan kemiskinan atau memberi mereka dana untuk menceburi bidang perniagaan atau keusahawanan dalam mempertingkatkan taraf hidup.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top