Mahkamah Tangguh Rayuan Gugur Kes Adun Sri Muda

SHAH ALAM 21 JULAI : Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menangguhkan rayuan kes Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafie  11 Ogos depan bagi membolehkan Shuhaimi dan peguam beliau memilih satu daripada dua rayuan yang dikemukakan.

Rayuan yang dibuat oleh Shuhaimi pada hari ini adalah untuk menggugurkan kes ke atas beliau manakala satu lagi ialah pertikaian mengenai akta hasutan yang difailkan ke atasnya bersabit penulisan dalam blog yang didakwa menghina Sultan Selangor tahun lalu.

Hakim Nor Azian Shaari meminta peguam yang mewakili shuhaimi melampirkan salah satu daripada rayuan yang ingin dikemukakan pada 26 Julai ini.

Peguam Shuhaimi, Edmund Bon hari ini memberitahu mahkamah pihaknya memohon supaya kes yang difailkan ke atas Shuhaimi digugurkan selain menyifatkan seksyen yang dikenakan ke atas anak guamnya di bawah Akta Hasutan bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Pengistiharaan bahawa Akta Hasutan seksyen 4 (1) adalah bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan," kata beliau.

Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada manifestasi prinsip kebebasan bersuara yang dijamin dalam sebuah negara berpelembagaan.

Oleh itu, Hakim Nor Azian meminta peguam Shuhaimi berbincang dengan anak guamnya untuk menetapkan salah satu daripada rayuan untuk dipertimbangkan.

Shuhaimi yang ditemui TvSelangor berharap, kes ini berkesudahan dengan baik.

"Apa pun langkah yang diambil, saya serahkan semuanya ini kepada peguam, saya yakin akhirnya nanti kes ini digugurkan," kata beliau ketika ditemui di luar mahkamah.

Terdahulu pada 19 Julai, Mahkamah Sesyen Shah Alam memutuskan untuk menangguhkan kes kepada 8 ogos depan sementara menunggu keputusan rayuan kes di Mahkamah Tinggi.

Shuhaimi dihadapkan ke mahkamah berhubung artikel berjudul "Pandangan saya berasaskan undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959" tahun lalu.

Artikel bertarikh 30 Disember 2010 yang ditulis Shuhaimi  mendapat kecamanan hebat dari musuh politik yang dilihat cuba mengambil kesempatan dengan memanipulasi penulisan beliau selain membuat beberapa laporan polis kononnya Adun PKR itu menghina Sultan Selangor.

Siri serangan terhadap Shuhaimi terus dipergiat apabila pihak tidak bertanggungjawab bertindak menyimbah cat merah dipintu Pejabat Adun Sri Muda di Kota Kemuning Shah Alam.

Shuhaimi dituduh mengikut seksyen 4 (1) Akta Hasutan ekoran penulisannya itu dikaitkan dengan kontroversi pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Khusrin Munawi.

Manakala pihak pendakwaan pula dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top