Guan Eng: IGP Benar MP Lawat Wakil Rakyat Sg Siput

KUALA LUMPUR, 14 Julai — Polis membenarkan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat melawat wakil rakyat Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar di Bukit Aman esok susulan permintaan dibuat kelmarin, kata Lim Guan Eng hari ini.

Setiausaha Agung DAP berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telah memberi kebenaran kepada tiga ahli Parlimen untuk melawat Jeyakumar di ibu pejabat polis di Bukit Aman.

Lim membuat permohonan selepas sembilan ahli Parlimen tidak dibenarkan bertemu dengan wakil rakyat penggal pertama itu, yang kini ditahan di bawah Ordinan Darurat, di Institut Jantung Negara.

“Saya telah mengemukakan permohonan kepada Tan Sri Ismail untuk melawat YB Dr Michael Jeyakumar (gambar) pada 12 Julai, beliau membalas surat pada 13 Julai (semalam) dan memberitahu bahawa YB Dr Michael Jeyakumar telah pun keluar dari Institut Jantung Negara.


“Dalam suratnya, Tan Sri Ismail juga mengatakan bahawa pihak polis membenarkan lawatan ke atas YB Dr Michael Jeyakumar di Bukit Aman,” katanya.

Jeyakumar telah dibenarkan keluar IJN petang semalam dan masih ditahan polis bersama lima pemimpin Parti Sosialis Malaysia yang lain.

Lawatan ke atas beliau akan diadakan esok, kata Lim dalam satu kenyataan pagi ini.

Bagaimanapun lawatan terhad kepada tiga ahli Parlimen sahaja, kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sehubungan itu, ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang dari DAP, Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dan R Sivarasa (PKR-Sivarasa) akan melawat Jeyakumar.



Sumber: The Malaysian Insider

0 comments:

top