SHAH ALAM 22 JULAI : Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah menyambut baik keputusan peguam keluarga mendiang Teoh Beng Hock untuk memohon satu semakan kehakiman sekali gus mencabar keputusan suruhanjaya diraja di mahkamah.

Ean Yong berkata, ini kerana hasil siasatan dan keputusan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock semalam bahawa kematian Beng Hock berpunca daripada bunuh diri tidak dapat diterima serta disifatkan sebagai tidak masuk akal.

“Saya tidak percaya bahawa Teoh Beng Hock membunuh diri kerana dakwaan suruhajaya jelas menunjukkan bahawa sememangnya SPRM dan pegawai SPRM  telah menyalahgunakan kuasa serta tidak mengikut peraturan semasa soal siasat dan semasa siasatan kes dibuat,” katanya memberitahu Tvselangor.

Menurut Ean Yong, berdasarkan hasil siasatan suruhanjaya semalam ia jelas menunjukkan bahawa Beng Hock ‘terganggu’ ekoran sikap tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilabel sebagai “Arman yang membuli, Ashraf salah guna (kuasa) dan HH pemimpin yang angkuh.”

“Ya, ia memang tidak masuk akal. Kerana dalam sesi pendengaran, pegawai SPRM telah menjelaskan kes saya yang telah disiasat mereka jelas menunjukkan bahawa saya dan Beng Hock tidak terlibat dalam korupsi serta penyalahgunaankuasa. Dan jika ia benar, ini bermaksud Teoh Beng Hock tidak ada alasan untuk membunuh diri,"tegasnya.

Malah ujarnya, suruhanjaya juga memutuskan bahawa pegawai-pegawai SPRM di Selangor sebagai terbuka kepada pembohongan.

Ketiga-tiga mereka yang dinamakan ialah bekas pengarah SPRM Selangor Hishammuddin Hashim, dua pegawainya Arman Alies dan Mohd Ashraf Mohd Yunus.

Ketiga-tiga mereka dinamakan sebagai pegawai soal siasat kes Teoh dalam laporan suruhanjaya itu, sebagai pihak yang ‘menundukkan’ Teoh ketika sesi soal siasat empat peringkat, yang bermula 15 Julai sehingga keesokan pagi.

Menurut laporan suruhanjaya itu, “Arman yang membuli” kemungkinan telah memanipulasikan saksi untuk mendapatkan bukti.

Tambah Ean Yong, tindakan SPRM untuk menyiasat wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor adalah berunsur politik.

“Ini jelas menunjukkan bahawa tindakan SPRM untuk menyiasat semua wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor adalah berunsur sifat politik,” tambahnya.

Peguam keluarga Teoh Beng Hock, Karpal Singh berkata, pihaknya berkemungkinan memohon agar diadakan satu semakan kehakiman ke atas penemuan suruhanjaya diraja yang menyiasat kes kematian pembantu politik kepada seorang wakil rakyat DAP itu.

Karpal yang juga Pengerusi DAP kebangsaan berkata, beliau sedang meneliti laporan suruhanjaya itu “baris demi baris” untuk menentukan tindakan susulan, yang akan diketahui menjelang awal minggu depan.

Karpal berkata, beliau tidak dapat fikirkan sebarang tindakan yang boleh diambil ke atas tiga pegawai yang dinamakan selain tindakan disiplin.

Seorang lagi peguam keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo bagaimanapun berkata mereka sedang meneliti satu peruntukan dalam undang-undang yang boleh digunakan untuk meliputi tindakan ke atas pegawai-pegawai terbabit.

Keputusan mengenai punca kematian Teoh itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat prosiding Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang didedahkan kepada umum, semalam.

Teoh, 30, pembantu politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top