SELAYANG 18 JUN : 84 keluarga setinggan di Kampung Kok Doh di Bandar Baru Selayang hari ini menerima saguhati pemindahan dan bantuan perumahan daripada kerajaan negeri Selangor bagi membolehkan projek perumahan Bukit Botak dimulakan.

Kampung Kok Doh merupakan sebuah perkampungan yang terletak bersebelahan Kampung Bukit Botak dan merupakan tanah milik anak syarikat kerajaan negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor, Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini turun menyerahkan saguhati berjumlah RM 483,800 kepada keluarga yang terbabit dalam perpindahan itu.

Meskipun komited dalam memastikan pembangunan di kawasan setinggan Bukit Botak yang menjadi penantian hampir 20 tahun penghuninya, namun kerajaan negeri tidak sesekali mengabaikan mereka yang turut terkena tempias akibat projek terbabit.

Selain saguhati melibatkan bantuan pemindahan sebanyak RM 500 seorang,mereka juga menerima tawaran dan bantuan pembelian rumah Semi-D Bukit Botak atau rumah kos rendah - mengikut kelayakan masing-masing.

"Apa yang kita lakukan hari ini ialah secara telus bagaimana langkah-langkah yang kita gunakan untuk menyelesaikan masalah di Bukit Botak, antaranya kita telah bersetuju dengan semua pemilik tanah Bukit Botak untuk dibangunkan sebagai satu projek secara menyeluruh yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor PKNS (perumahan semi-d),"ujarnya.

Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan cek saguhati kepada penduduk Kampung Kok Doh di  Dewan Kompleks Pegawai Daerah Gombak di Selayang, tengahari tadi.       

Peneroka bandar yang menerima saguhati ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu, 63 keluarga layak membeli rumah Semi-D Bukit Botak dengan harga RM 99,000.

Mereka juga telah diberi peruntukan tambahan RM 3,600 seorang sementara menunggu rumah siap dalam masa 12 bulan, serta saguhati pemindahan RM500.

Manakala 20 keluarga lagi layak membeli rumah kos rendah Rumah Pangsa Kos Rendah (RPKR) di Selayang Mulia yang bernilai RM 42,000 diberi subsidi RM 7,000 untuk pembelian rumah.

Ini bermakna mereka hanya membayar RM35,000 untuk memiliki rumah RPKR. Selain itu, mereka menerima peruntukan tambahan RM1,500 serta saguhati pemindahan RM500 seorang. 

Menteri Besar turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kampung Kok Doh yang memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dalam pemindahan ini kerana ianya akan menjayakan projek perumahan Bukit Botak.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Pegawai Daerah Gombak Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Othman Omar.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top