SHAH ALAM 20 Jun – Kerajaan Negeri Selangor akan menubuhkan satu dana khas berjumlan RM 5 juta untuk pembangunan pendidikan dan modal insan anak-anak kakitangan kerajaan negeri.

Menteri Besar Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri membuat keputusan tersebut supaya anak-anak kakitangan kerajaan yang memerlukan bantuan kewangan untuk menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ada peluang untuk mendapatkan pembiayaan yang sepatutnya.

“Pendidikan dan modal insan adalah amat penting kepada kerajaan negeri dan kami mahu pastikan anak-anak kakitangan membesar dengan sempurna kerana ini akhirnya akan membantu membentuk negeri yang maju dan berdaya saing.

“Ini juga adalah tanda penghargaaan kami kepada warga kerga kerajaan negeri yang banyak berkorban membantu kerajaan menjalankan pentadbiran yang cekap, telus, berhemah dan berkesan,” kata Menteri Besar.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada lebih kurang 2,000 kakitangan kerajaan negeri yang menghadiri perjumpaan bulanan yang di anjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Jubli Perak, SUK Shah Alam pagi tadi.

Menteri Besar juga berkata dana tersebut telah diperolehi dari hasil perlombongan pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang ditubuhkan untuk menjayakan agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor” yang bermula pada 2008.

“Kumpulan Semesta sekarang telah mendapat keuntungan kasar yang meningkat kepada RM 24.47 juta pada 2010 dan hingga kini RM 7.1 juta pada 2011. Jadi, kita ambil sebahagian dari keuntungan ini untuk menolong kakitangan kerajaan,” katanya lagi.

Perlaksanaan dana tersebut akan diperhalusi melalui perbincangan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Khusrin Munawi.



Sumber: Selangorkini

1 comments:

Anonymous said...

RM 5 juta boleh digunakan untuk pendidikan anak kakitangan kerajaan Selangor. Berapa juta yang di peruntukkan untuk menyelesaikan masalah jerebu di kawasan Bukit Tinggi, Bandar Botanic & Johan Setia? Kami terpaksa menghidu bahu asap hampir setiap malam selama beberapa tahun kebelakangan ini. Aduan kami melalui "STARS" tidak mendapat maklum balas langsung!


Adakah ini yang dikatakan kerajaan prihatin? Jangan sibuk merakyatkan ekonomi Selangor kepada segelintir rakyat sahaja.

top