SHAH ALAM 6 APRIL: Insiden terbaru kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56 yang soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menguatkan lagi hasrat kerajaan Selangor untuk melindungi setiap pegawainya, bagi memastikan keselamatan mereka terjamin ketika berada dalam tahanan badan tersebut.

Menteri Besar, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan medianya berkata, beliau kesal dengan berita kematian seorang lagi saksi siasatan SPRM, yang disifatkan amat mencurigakan.

“Kami akan merayu sehingga peringkat Mahkamah Persekutuan, perintah mahkamah tinggi yang membatalkan pekeliling kerajaan negeri yang menyatakan bahawa semua pegawai kerajaan negeri hanya boleh ditemuduga oleh SPRM pada waktu pejabat serta ditemani oleh peguam.

“Arahan ini adalah amat wajar memandangkan dua kes kematian ini, dan kerajaan negeri akan memperjuangkan keselamatan pegawai kami tanpa berbelah bagi,” tegas beliau.


Timbalan Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56 disiasat SPRM di bawah Operasi 3B sejak awal minggu lalu ditemui mati di perkarangan bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut pengarah Penyiasatan  SPRM Datuk Mustafar Ali, Ahmad Sarbani dikatakan naik ke tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Cochrane untuk disoal siasat sebelum di jumpai mati diaras bawah bangunan itu , kira- kira jam 10.15 pagi tadi.

Awal minggu ini, SPRM menahan lebih enam puluh pegawai Kastam dan merampas sejumlah wang bersabit siasatan rasuah di bawah beberapa akta termasuk Akta Pengubahan Wang Haram. 

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,  Khalid berkata,  SPRM langsung tidak belajar daripada kesilapan lalu dimana Teoh Beng Hock ditemui mati ketika berada dalam tahanan mereka pada Julai 2009.

“Kini jelas kepada rakyat Malaysia bahawa tanpa ada keadilan yang sepatutnya dalam kes-kes seperti kematian Teoh Beng Hock, insiden-insiden tragis seperti ini akan terus berulang.

“Tiadanya tindakan yang serius terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kematian Teoh Beng Hock mengakibatkan pihak-pihak tertentu bertindak seakan-akan mereka kebal dari kuasa undang-undang,” katanya.

Tragedi berlaku ketika sebuah Suruhanjaya Diraja sedang menyiasat prosedur operasi SPRM susulan kematian bekas pembantu Exco Kerajaan Selangor Teoh Beng Hock, yang mati pada Julai 2009.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, namun satu badan siasatan diwujudkan bagi menyiasat punca kematian Teoh.

Selepas 17 bulan dibicarakan mahkamah menetapkan tiada keputusan dicapai yang mana tidak dapat dipastikan sama ada Teoh membunuh diri atau dibunuh.

Ekoran keputusan itu, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mewujudkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat punca kematian Teoh.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top