SHAH ALAM 18 APRIL : Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan menyerahkan semula pengurusan pembersihan awam yang sebelum ini dikendalikan Alam Flora Sdn Bhd kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal seperti pungutan sampah di setiap rumah masih lagi dikendalikan oleh Alam Flora.

"Kami putuskan kuasa untuk perkhidmatan pembersihan diberi semula kepada PBT kerana kita dapati antara masalah terbesar dan aduan yang kita terima adalah mengenai kebersihan.

"Kita rasa dua tugas itu terlalu besar untuk dijalankan oleh Alam Flora.Sekiranya Alam Flora menumpukan kepada pemungutan sampah sahaja kita lebih senang tahu tugas mereka," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan Kerajaan Selangor, di sini hari ini.

Selain itu, Khalid berkata kerajaan negeri juga mendapati Alam Flora lebih banyak bertindak sebagai koordinator dan menggunakan khidmat kontraktor untuk menjalankan tugas pengutipan sisa pepejal.


Menurut Khalid, keputusan itu juga tidak akan memberi implikasi kepada kewangan PBT yang terpaksa membelanjakan antara RM300 juta hingga RM400 juta bagi kerja-kerja pembersihan serta pengurusan sisa pepejal.

"Kita menganggarkan lebih daripada RM200 juta akan digunakan untuk pengurusan pembersihan," katanya.

Jelas Khalid lagi, kerajaan negeri juga melihat pembahagian tugas antara Alam Flora dan sembilan PBT itu dapat menjimatkan 10 peratus kos pengurusan yang selama ini dikenakan oleh Alam Flora bagi pengendalian pengurusan pembersihan. 

Katanya lagi, pengambilalihan tugas daripada Alam Flora sepatutnya dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bermula 1 April tahun ini menerusi peruntukan undang-undang yang diluluskan.

Menurutnya, peruntukan itu memberikan kuasa kepada kementerian untuk menentukan tugas syarikat konsesi perkhidmatan sisa pepejal tersebut di setiap negeri di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.

"Oleh kerana belum dapat diselaraskan lagi pentadbirannya jadi kementerian belum jalankan tanggungjawab itu. Sebab itu pada dua minggu lepas kerajaan Selangor telah buat keputusan untuk bahagikan tugas tersebut," katanya.

Tegas Khalid, keputusan itu juga tidak bercanggah dengan perjanjian kontrak yang dibuat kerajaan negeri dengan Alam Flora sebelum ini.

Tambah Khalid, walaupun kerajaan negeri memutuskan untuk menyerahkan semula pengurusan pembersihan awam kepada PBT namun beliau tidak akan menamatkan perkhidmatan Alam Flora selepas ini.

Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top