Selangor Jimat RM20 Juta Kos Pembersihan

SHAH ALAM 20 APRIL: Keputusan Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih tugas pembersihan Alam Flora Sdn Bhd, mampu menjimatkan perbelanjaan kewangan negeri sehingga RM20 juta setahun dalam sektor itu.

Usaha ini sekaligus memberi sepenuhnya kuasa kepada kerajaan negeri untuk memastikan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini, Khalid berkata, kerajaan Selangor sebelum ini perlu membayar caj pengurusan sebanyak 10 peratus kepada Alam Flora.

Oleh yang demikian, Khalid menganggarkan kurang daripada RM200 juta akan digunakan bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan tersebut berbanding RM400 juta 
sebelum ini.


"Jadi kiraan awal mendapati Alam Flora mengenakan caj pengurusan sebanyak 10 peratus. Jadi kalau caj ini tidak kita bayar kepada Alam Flora, jadi dari awal lagi kita sudah jimat RM20 juta," jelas beliau.

Lima pihak berkuasa tempatan (PBT) dipertanggungjawabkan untuk memastikan kerja-kerja pemotongan rumput dan pembersihan longkang di kawasan kediaman sekitar Selangor akan dikendalikan dengan lebih baik.

Katanya, kerja-kerja pembersihan oleh Alam Flora sebelum ini mendapat reaksi negatif daripada penduduk setempat berikutan projek yang diperoleh dipajakkan 
kepada pihak yang ketiga. 

PBT yang dimaksudkan ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Manakala kelima-lima PBT tersebut akan membantu Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MHDS) yang mempunyai sumber kewangan 
terhad.

Sementara itu Khalid berkata, walaupun PBT yang ditugaskan tidak mempunyai kelengkapan secukupnya pada peringkat awal, namun kerajaan negeri telah mengarahkan penubuhan 'task force' meningkatkan keberkesanan pengurusan tersebut.

Walaubagaimana pun Khalid menjelaskan, Alam Flora tetap akan mengendalikan kerja-kerja pengurusan sisa pepejal di negeri Selangor selain ianya tidak bercanggah dengan perjanjian kontrak bersama Alam Flora.

"Kita membuat keputusan untuk menerima Alam Flora mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan kita akan menjalankan kerja pembersihan di mana ianya sebahagian daripada hak PBT," tambahnya lagi.

Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top