"Tabung Suhaimi" Kumpul Dana Tampung Kos Guaman

SHAH ALAM 10 FEB: Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor akan menubuhkan "Tabung Suhaimi" bagi memohon dana menampung kos guaman Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Muda, Suhaimi Shafie yang disabitkan dengan tuduhan mempersoal kuasa Sultan.

Ini merupakan inisiatif kerajaan itu memupuk kesedaran masyarakat Selangor bahawa terdapat usaha menjatuhkan kerajaan pilihan mereka menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya pagi tadi, Khalid berkata pendekatan ini sekaligus memupuk sudut kesedaran politik rakyat Selangor seraya menolak dakwaan kerajaan itu menggunakan duit rakyat untuk membiayai kos peguam Suhaimi.

"Kita (PR) menentang amalan selektif atau pendakwaan terpilih. Ini menunjukkan pendakwaraya (Umno-BN) ada agenda politik. Kita mahu rakyat Selangor sedar bahawa ini serangan ke atas kerajaan pilihan mereka," ujar beliau.

Menurut Khalid, Umno-BN yang menggunakan duit kerajaan untuk membayar khidmat pendakwaraya tanpa segan silu mengamalkan pendekatan dakwaan terpilih untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.


Tambahnya, perkara yang dilakukan oleh Suhaimi di dalam blognya tidak setanding dengan ucapan "Binatang" yang dicoretkan di atas kain rentang oleh Umno-BN Terengganu membantah keputusan Yang Dipertuan Agong, Sultann Mizan Zainal Abidin melantik Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar Terenggau menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.

"Kesalahan Suhaimi tidak penting berbanding apa yang Umno-BN lakukan," jelas Khalid lagi.

Shuhaimi sebelum ini didakwa menghina Sultan Selangor berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru Datuk Mohamad Khusrin Munawi di dalam blognya srimuda.blogspotcom pada 30 Disember lepas.

Pejabat Pusat Khidmat Adun Seri Muda di Kota Kemuning turut disimbah cat merah dipercayai mempunyai kaitan dengan perkara tersebut.

Kerajaan Selangor kemudian berpendirian untuk bersama-sama dengan Suhaimi menghadapi tuduhan itu selain menyatakan hasrat untuk membayar kos khidmat guaman beliau.

Walaubagaimanapun tindakan tersebut mendapat tentangan daripada pelbagai pihak terutamanya Umno-BN yang menyifatkan ianya sebagai pembaziran duit rakyat.

Dalam pada itu, kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) pro-Pakatan Rakyat akan menubuhkan Gerakan Anti Pendakwaan Terpilih (GAPET) bertujuan memberi informasi kepada rakyat seluruh negara tentang kuasa pendakwaan terpilih yang dilakukan pihak Umno-BN.

GAPET akan membantu mengedarkan risalah serta menganjurkan ceramah penerangan kepada rakyat di negeri jajahan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top