Selangor Tidak Keluar Arahan Tutup Kuil Sivan

PETALING JAYA 8 FEB: Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak pernah mengeluarkan arahan penutupan Kuil Sivan yang terletak di Bukit Gasing, Petaling Jaya.

Tetapi ia adalah arahan daripada pihak pentadbiran kuil itu sendiri di sebabkan struktur tanah di situ tidak stabil.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat bersama antara pihak pentadbiran Kuil Sivan, wakil MBPJ dan kerajaan negeri, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata kesemua pihak sememangnya bekerjasama sejak awal lagi bagi menyelesaikan isu ini.

"Macam mana pihak kuil telah kata, penutupan kuil ini bukanlah dari pihak kerajaan tetapi dari kuil itu sendiri sebab mereka nak jaga keselamatan penganut-penganut yang akan datang ke kawasan ini, tetapi (upacara) perayaan dan proses keagamaan diteruskan samada setiap hari atau tiga kali seminggu, ada orang-orang yang dipertanggungjawabkan telah lakukannya di dalam kuil itu," jelas Dr Xavier.


Kata beliau, tindakan penutupan oleh pihak kuil didapati perlu memandangkan wujudnya unsur-unsur yang boleh membahayakan para pengunjung sekiranya dibuka kepada awam dan ini telah disahkan oleh agensi pemantau kesan alam sekitar, Ikram Engineering services Sdn Bhd yang dilantik oleh pihak kuil bagi memantau kesan pembinaan kuil tersebut terhadap kawasan persekitaran kuil.

Beliau juga menjelaskan, kerajaan negeri dalam mesyuarat sebelumnya pada 28 Ogos 2009 telahpun bersetuju untuk mewartakan semula tanah tersebut kepada kuil dengan syarat pihak kuil mengambil tindakan membaik pulih dan menyelenggara kawasan cerun supaya berada dalam keadaan baik.

"Saya minta kerjasama semua pihak, kita telah mulakan satu proses untuk menghabiskan pembinaan kuil ini, kuil itu akan siap dan akan ada disana. Tetapi prosesnya memang lambat," kata beliau lagi.

Dr Xavier seterusnya menjelaskan, tanah tersebut pada masa ini terletak di dalam kawasan Lingkaran Hijau Lembah Klang maka tanah itu perlu dinyahwartakan daripada tanah hutan simpanan kerajaan.

Kata beliau, hanya selepas itu, tanah tersebut boleh diwartakan semula oleh kerajaan negeri kepada samada pihak pentadbiran kuil ataupun atau atas nama kuil itu sendiri dan proses ini boleh memakan masa sehingga dua tahun.

Katanya lagi, tindakan Penasihat Undang-undang Hindraf, P Uthayakumar dan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan meminta kerajaan menyelesaikan isu pewartaan dalam masa 30 hari seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini hari ini langsung tidak masuk akal.

"Dua-dua orang itu pun peguam, bukan orang baru, dia kena faham isu bila lawan, satu kes di mahkamah pun boleh jadi dua tahun, bukannya selesai dalam 30 hari," kata beliau lagi.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top