SHAH ALAM, 6 Okt – Kerajaan Selangor hari ini mengulangi pendiriannya bahawa projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) tidak perlu disegerakan dengan alasan bekalan air untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencukupi sehingga 2019.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan sikap kerajaan pusat yang mendahulukan projek loji rawatan itu seolah-olah ia amat penting dalam menyelesaikan masalah perkhidmatan air di Selangor.

“Jikapun pembinaan itu bermula hari ini, ia hanya akan dapat beroperasi dalam masa tiga tahun. Ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi pada hari ini.

“Oleh itu adalah lebih tepat jika Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Datuk Seri Peter Chin Fah Kui) menyelesaikan rundingan penstrukturan semula (industri air di Selangor) dalam masa dua bulan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika mengulas kenyataan Chin semalam bahawa kerajaan persekutuan menimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Selangor jika pembinaan Langat 2 masih tidak dapat diselesaikan sehingga hujung tahun ini.

Pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat itu sepatutnya bermula Ogos lepas.

Abdul Khalid berkata kerajaan Selangor memandang serius kenyataan Chin itu dan berpendapat kerajaan persekutuan sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyelesaikan rundingan penstrukturan semula industri air di Selangor yang telah tertangguh hampir dua tahun.

Katanya kerajaan negeri dan kerajaan pusat perlu memberi perhatian lebih kepada rundingan penstrukturan semula itu lebih-lebih lagi kedua-dua pihak telah memberi komitmen untuk menyelesaikannya dalam tempoh dua bulan ini.

“Penstrukturan semula industri air ini lebih penting kepada rakyat kerana ia akan memastikan tarif air yang munasabah dan perkhidmatan yang lebih efisyen.

“Bagaimanapun kerajaan negeri tidak menolak sepenuhnya projek Langat 2. Selepas rundingan penyusunan semula industri air ini selesai, barulah kerajaan Selangor dan kerajaan pusat menimbang untuk projek membina Langat 2,” katanya.

Abdul Khalid berkata dalam membuat persediaan pembinaan Langat 2, mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini telah meluluskan jawatan Pengarah Kawal Selia Air seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 3 (1) Enakmen Pembekalan Air 1997.

Beliau berkata Pengarah Kawal Selia Air akan bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam meneliti projek itu termasuk dalam soal pelantikan kontraktor-kontraktor untuk membina loji itu.

“Ini adalah satu usaha kerajaan negeri untuk mengemaskini pembangunan operasi air di Selangor. Usaha ini akan memastikan aset air milik Selangor diurus dan diselenggarakan dengan baik

“Kami berpendapat kerajaan negeri adalah entiti terbaik untuk mengambil alih industri air di Selangor yang menghadapi pelbagai masalah yang disebabkan oleh syarikat konsesi yang mengutamakan keuntungan lebih besar berbanding kepentingan lima juta pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

0 comments:

top