Saya, Abdul Khalid bin Ibrahim, hari ini dengan rasminya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Keadilan Rakyat yang akan berlangsung pada November ini.
 
Ramai yang mungkin tertanya mengapa saya mahu masuk bertanding dalam pemilihan yang telah banyak menerima persepsi negatif dalam laporan media dan dalam parti sendiri. Saya melihat apa yang berlaku menampakkan kepimpinan berpuak dan serangan peribadi.

Seperti yang saya katakan minggu lalu, perkembangan ini tidak sihat untuk parti dan perlu diperbetulkan. Sebagai salah seorang pemimpin parti dan Menteri Besar negeri Pakatan Rakyat, saya akan cuba memperbetulkan keadaan ini.

Dan kerana inilah, saya mengambil keputusan untuk bertanding jawatan nombor dua dalam parti.
 

Bagaimanapun, saya mahu memastikan keputusan saya ini memberi kesan positif kepada parti. Untuk ini, saya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menilai kesan tawaran bertanding kepada pentadbiran dan perpaduan parti.

Jawatankuasa ini terdiri daripada Tuan Syed Shahir, Puan Irene Fernandez, Saudara Tian Chua dan Saudara Muhamad Nur Manuty dan mereka ini bebas mengadakan rundingan dengan pemimpin parti yang berkaitan sehingga 15 Oktober.

Sekiranya jawatankuasa menasihatkan tawaran saya ini tidak baik untuk parti dan ada cara yang lebih baik untuk saya berkhidmat kepada parti, saya akan akur dengan nasihat ini.

Jika Jawatankuasa ini berpendapat tawaran saya baik untuk parti, saya telah pun menggariskan lima teras perjuangan bertemakan “Memperkasakan Reformasi”. Lima teras tersebut ialah;

-Setia kepada perjuangan

-Meneruskan agenda perubahan

-Merakyatkan ekonomi

-Menolak politik pecah perintah

-Kesepaduan parti


Lima teras perjuangan ini akan mencorakkan pentadbiran ‘inclusive’ dan mengakhiri amalan berkumpulan dan berpuak-puak dalam parti. Hanya dengan ini laluan ke Pakatan Rakyat akan menjadi reality.

Saya amat berbesar hati melantik Tuan Syed Shahir sebagai pengurus operasi kempen kerana saya percaya beliau boleh menolong kempen saya berjalan dengan sistematik, bersih, professional dan adil.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli parti yang telah hadir untuk memberi sokongan dan semangat kepada saya untuk memastikan parti Keadilan terus berjuang di landasan yang betul.


TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM

0 comments:

top