Pak Kudus, Pengasas KEADILAN Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR 1 Okt - Salah seorang pengasas Parti Keadilan Rakyat yang gigih dan komited, Abdul Kudus Omar meninggal dunia pada usia 70 tahun akibat serangan jantung hari ini.

Beliau meninggal dunia kira-kira pukul 11.40 pagi tadi di Institut Jantung Negara setelah dimasukkan ke Unit Penjagaan Intensif (ICU) sejak meinggu lalu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Kudus pernah memegang jawatan Ketua Cabang Tanjung Karang sebelum memberi laluan pada pemilihan kali ini.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan pemergian Pak Kudus sebagai satu kehilangan besar keluarga KEADILAN.

"Pak Kudus salah seorang pengasas yang menentang arus semasa tercetusnya reformasi. Beliau sanggup berceramah di tengah-tengah sawah atas lori.

"Saya tidak akan lupa pengalaman dengan Pak Kudus dengan senikata lagu 'Suci Dalam Debu -

Suatu hari nanti pastikan bercahaya,

Pintu akan  terbuka kita langkah bersama,

Di situ kita lihat bersinarlah hakikat,

Hina jadi mulia, debu jadi permata.

"Beliau berani dengan penuh hikmah dan komitmen sehingga akhir hayat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya," ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika dihubungi berkata parti kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa dan ikhlas kepada perjuanhgan parti sejak bermulanya era reformasi.

"Angkatan Muda amat merasakan kehilangan beliau. Saya menyeru ahli parti terutamanya yang baru menyertai KEADILAN supaya mencontohi semangat dan jiwa besar Pak Kudus dalam perjuangannya menegakkan keadilan di negara ini sejak awal lagi.

"Beliau boleh dikatakan sebagai salah satu butir mutiara dalam KEADILAN yang telah berjuang dengan penuh keikhlasan dan komitmen kepada nilai-nilai perjuangan," kata Shamsul.

Pak Kudus sebelum bersara daripada perkhidmatan kerajaan adalah Pegawai Penyiasat Cawangan Khas yang pernah bertanggungjawab menyoalsiasat Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketia beliau ditangkap pada awal tahun 1970an berhubung demonstrasi pelajar di Baling.

"Anwar Ibrahim seorang manusia hebat dan berjiwa besar. Sepanjang yang saya kenalinya, beliau adalah seorang insan yang amat konsisten dengan pendirian dan keyakianan perjuangannya," kata Pak Kudus kepad Suara Keadilan dalam satu temuramah semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Jenazah beliau akan dibawa ke Masjid Kampung Parit Serong, Tanjung Karang dan akan dikebumikan selepas sembahyang Asar.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

top