KUALA SELANGOR, 2 OKT – Latihan kemahiran adalah jalan penyelesaiannya. Itu tegas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di hadapan kira-kira 200 pelajar Kolej Antarabangsa INPENS di Kuala Selangor hari ini.

Khalid Ibrahim berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Kemahiran Teknikal Kolej Antarabangsa INPENS sessi kemasukan Julai 2010 kepada 184 orang daripada 10 bidang kursus kemahiran teknikal.

“Untuk mengatasi masalah kemiskinan ialah bukan kepada cara kebajikan, jawapan ialah kepada pekerjaan, kebolehan dan keupayaan, rakyat yang mempunyai kemahiran sudah dapat bekerja di luar negara,” katanya.

Turut hadir di majlis penyerahan surat tawaran ini ialah Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr  Xavier Jayakumar, Pengerusi Kolej Antarabangsa INSPENS Datuk Md Mydin Md Sheriff, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Tuan Haji Haris Kassim.

Pada masa ini, pelajar di Kolej Antarabangsa INPENS dibiayai oleh kerajaan negeri sebanyak RM6550.00 seorang bagi program kemahiran teknikal peringkat sijil kemahiran selama enam bulan pengajian.

Sepanjang tempoh tersebut para pelajar dibiayai sepenuhnya termasuk makan dan minum, yuran pengajian, elaun penginapan dan elaun sara diri sebanyak RM150.00 sebulan.

Elaun sara diri ini telah dinaikkan daripada RM100.00 kepada RM150.00 bermula sesi pengambilan Januari 2010 lepas berikutan peningkatan kos dan kenaikan harga barangan keperluan harian.

Khalid Ibrahim juga sempat meluangkan masa kira-kira 45 minit untuk turun padang melawat persekitaran kolej yang boleh menempatkan kira-kira 500 pelajar pada satu-satu masa.

Perancangan Kolej INPENS ialah untuk meningkatkan kapasiti di mana boleh memuatkan kira-kira 1000 pelajar apabila projek penambahbaikan akan bermula tidak berapa lama lagi.


Sumber: Selangorkini

0 comments:

top