NGO: Dana dibelanjakan Untuk Pendidikan Tamil




Tiga pertubuhan bukan kerajaan, (NGO) yang dituduh menerima peruntukkan RM 1.58 juta daripada kerajaan Selangor mendakwa dana berkenaan telah digunakan bagi pembangunan pendidikan Tamil di negeri itu.

Tiga NGO itu adalah ialah Pusat Maklumat, Pembelajaran dan Pembangunan Kanak-kanak (Child), Yayasan Tamil Malaysia dan Yayasan Pendidikan, Kebajikan dan Penyelidikan Tamil (EWRF).

Ahad lalu, Pengerusi, Persatuan Ibu bapa Klang, G Jeganathan membuat laporan polis terhadap exco Selangor, Dr Xavier Jeyakumar menyeleweng wang berkenaan dengan menyalurkannya kepada tiga NGO berkenaan.

Penyelaras program pembangunan sekolah Tamil bagi ketiga-tiga Ngo itu, K Arumugam pada sidang medianya mengakui mereka menerima wang berkenaan daripada kerajaan negeri.



“Wang itu digunakan bagi membantu 97 sekolah Tamil di seluruh Selangor,” katanya.

Menurut pengarah program Child, Dr N Iyngkaran wang yang diterima pihaknya digunakan bagi membina 15 tadika, membekalkan buku teks kepada pelajar lembap dan juga menganjurkan kelas tambahan.

“Melaui program-program berkenaan, kita berjaya meningkatkan kadar kelulusan UPSR dari 20 peratus kepada 50 peratus sepanjang beberapa tahun lalu,” beliau menjelaskan.


Bagi Presiden EWRF, S Pasupathi pula, pihaknya menjalankan bancian bagi menentukan hak milik tanah di mana sekolah Tamil didirikan.

“Sebahagian wang juga digunakan bagi kelas bahasa Inggeris bagi pelajar sekolah rendah dan bagi menerbitkan majalah bagi kanak-kanak sekolah,” katanya.

Presiden Yayasan Tamil K Uthayasoorian berkata pertubuhannya pula menganjurkan kem kesedaran alam sekitar dan motivasi untuk pelajar sekolah.

Dana turut dibekalkan dari sumber lain

Menurut Arumugam, ketiga-tiga NGO berkenaan telah wujud sejak 30 tahun lalu dan amat dihormati di kalnagan masyarakat India.

“NGO berkenaan telah menjalankan kajian terperinci berhubung program-program itu sebelum kerajaan Selangor meluluskan dana berkenaan,” katanya.

Tambahnya lagi, ketiga-tiga NGO itu secara bersama membelanjakan lebih RM 3 juta setiap tahun bagi membiayai program mereka.

“Kami menerima peruntukan bukan sahaja dari kerajaan Selangor, tetapi kerajaan Persekutuan dan syarikat korporat lain turut menyumbang,”

Arumugam juga berkata mereka bersedia untuk disiasat jika ada pihak yang tidak berpuas hati.

0 comments:

top