Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata kerajaan negeri memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM704,000 kepada 31 buah Sekolah Tamil bagi membolehkan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak pengurusan sekolah mambantu murid- murid miskin.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri sudah memberikan bantuan bernilai RM508,000 kepada sejumlah PIBG sekolah Tamil.

Pemberian bantuan kali ini merupakan pemberian tahap ke dua, iaitu sebahagian daripada peruntukan 2009.



"Pada tahun 2009 kita telah beri 4 juta ringgit dan memang kita telah habiskan bajet untuk 2009 tetapi anggaran kita bahawa perbelanjaan itu akan masuk sampai bulan Mac akan datang.

“Untuk itu kita akan adakan beberapa program lagi di mana sumbangan-sumbangan untuk Sekolah Tamil akan diberikan pada waktu itu,” katanya pada satu sidang media Majlis Penyerahan Cek Bantuan Kewangan Sekolah-Sekolah Tamil di sini hari ini.

Beliau berkata perbelanjaan tersebut akan ditumpukan khususnya untuk meningkatkan taraf pendidikan pelajar-pelajar sekolah Tamil yang mempunyai keputusan rata-rata hampir 45 peratus daripadanya hanya mampu mencatat keputusan gred C dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah.

Dalam pada itu bagi memastikan matlamat ini tercapai, kerajaan negeri juga akan membelanjakan sejumlah 2 juta ringgit untuk meningkatkan keputusan UPSR 30 ribu pelajar di sekolah Tamil di sekitar negeri Selangor.

Selain itu, peruntukan ini juga diharapkan dapat digunakan sepenuhnya oleh pihak sekolah dan PIBG bagi membeli kemudahan peralatan mengajar dan pembelajaran serta dapat memperbaiki infrastruktur sekolah.

 “Permintaan yang banyak sekali ialah pembaikan infrastruktur sekolah mereka kerana banyak Sekolah-sekolah Tamil dibiarkan begitu sahaja tanpa ada bajet untuk meningkatkan infrastruktur sekolah-sekolah ini dan memang banyak sekolah dalam situasi daif dan kita memang perlu membantu mereka untuk meningkatkan taraf infrastruktur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkata kerajaan negeri juga sedang membuat kajian terperinci untuk memberi taraf tanah kepada sekolah-sekolah Tamil yang ada sekarang sebagai geran tanah sekolah.

Beliau berkata sekiranya sekolah itu didirikan di atas tanah kerajaan, kerajaan negeri akan memberikan geran kepada sekolah-sekolah itu.

Penyerahan cek tersebut disampaikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di lobi bangunan Setiausaha kerajaan Negeri pagi tadi.

Sumber: TVSelangor

0 comments:

top