Petaling Jaya - Sebanyak 25 Laporan polis dibuat beberapa ahli politik parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara berhubung kenyataan yang dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkaitan isu protes persatuan penduduk Seksyen 23 yang membawa kepala lembu bagi membantah pembinaan kuil di kawasan kediaman mereka baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr A Xavier Jayakumar berkata, pihaknya terkejut dengan tindakan Hishammuddin yang menyatakan kumpulan berdemonstrasi berkenaan tidak berniat menimbulkan kebencian terhadap kaum lain.

"Kami terkejut dengan kenyataan Hishammuddin padahal kes berkenaan masih dalam siasatan polis."

"Kenyataan yang dikeluarkan jelas tidak bertanggungjawab daripada seorang menteri yang menjaga ketenteraman negara dan boleh mengundang kutukan rakyat berbilang kaum," katanya.

Xavier berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bersama Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainudin.

Xavier berkata, tindakan menteri berkenaan jelas mendahului siasatan polis dan boleh mempengaruhi proses berkenaan.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, tindakan Hishammuddin kurang bijak sekali gus mereputkan kepercayaan rakyat kepada PDRM.

"Jika ia berlaku, bagaimana mereka mahu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap mereka?"

"Kita mahu satu siasatan yang telus terhadap mana-mana pihak yang terlibat," katanya.

Dalam pada itu, Ketua AMK, Khairul Anuar berkata, kenyataan yang dikeluarkan juga boleh menggalakkan lagi tindakan-tindakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk terus memainkan agenda perkauman dan kepentingan agama demi kepentingan politik mereka.

Sumber Berita: Sinar Harian, N14, 3 September 2009





0 comments:

top