Isu pemberian tanah kepada sekolah Tamil di Klang yang berlarutan sejak sekian lama, selesai apabila tanah seluas 2.72 ekar dianugerahkan oleh kerajaan negeri Selangor, hari ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pemberian tanah rizab ini adalah untuk membina Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Simpang 5 (Dua), Taman Sentosa, Klang.

Ia berikutan permintaan penduduk terhadap sekolah yang menggunakan bahasa ibunda semakin meningkat dan sekolah sedia ada tidak mampu menampung pertambahan itu.

“Ada setengah sekolah sudah membuat beberapa bilik darjah tambahan, tapi masih lagi belum cukup untuk menampung permintaan masyarakat kaum India, untuk belajar di sekolah tamil.

“Dengan adanya sekolah ini kita akan lebih dapat merancang pelajaran-pelajaran yang diberi kepada sekolah-sekolah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perwartaan pemberian tanah rizab kepada Lembaga Sekolah SRJK Tamil, di Taman Sentosa Klang, petang tadi.

Tan Sri Khalid berkata, pembinaan bangunan sekolah tambahan SRJK Tamil Simpang Lima (Dua) ini mampu menampung lebih seribu pelajar.

Katanya, sebelum ini, masalah timbul apabila ibu bapa dari kawasan itu terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan tamil Batu Empat dan Simpang Lima yang terletak antara 5 dan 7 kilometer.

Tambahnya, kawasan Taman Sentosa ini mempunyai populasi lebih 55 peratus masyarakat India, iaitu 8 ribu orang, terdiri daripada pengundi India.

Tan Sri Khalid berharap, Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera untuk mendirikan bangunan sekolah terbabit.

“Kita harap kerajaan persekutuan mengambil tindakan secepat mungkin pembinaan ini,” katanya.

Turut hadir, Speaker Dewan Negeri Selangor, Teng Chang Kim, Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Dr Halimah Ali, dan Ronnie Liu.

Dalam pada itu, penduduk setempat yang ditemui gembira dengan pemberian tanah ini untuk pembinaan sekolah baru.

“Kami mengalu-alukan apa yang kerajaan negeri Selangor kini lakukan dan mereka memang banyak improvement, khasnya sekolah-sekolah tamil, dulu memang kita kekurangan bilik darjah semua, jadi sekarang kita dapat satu sekolah yang baru, ini detik manis buat kami,” kata Bekas Ahli Jawatankuasa SJK(Tamil) Simpang Lima, K.Govin.

“Hari ni kita sangat-sangat gembira bahawa kerajaan Selangor pakatan Rakyat telah memberikan tanah kepada sekolah Tamil, kami sangat gembira dan bangga, tak kira sekolah apa pun termasuk sekolah Cina dan sekolah kebangsaan biasa,” kata penduduk Taman Sri Andalas, Sangetha.

Manakala bagi A.Saraswathy, penduduk dari Bandar Puteri berkata, kerajaan Pakatan Rakyat mengambil berat terhadap semua kaum, tidak mengira bangsa, dan ini pertama kalinya melihat banyak perbezaan telah berlaku di Selangor, dan yakin banyak lagi perubahan kepada semua masyarakat.

Sumber: TVSelangor

0 comments:

top