Shah Alam - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata pada bulan ini Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih kurang RM200,000 untuk membeli peralatan perniagaan bagi membantu peniaga di Selangor.

Menurutnya, pada bulan ini seramai 124 peniaga diberikan bantuan peralatan untuk memajukan perniagaan mereka.

"Program yang diadakan ini adalah program Bantuan Peralatan "Blueprint" yang dirangka dalam Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor.

"Pada masa kini Selangor telah membuat satu bajet untuk membeli peralatan perniagaan dan ia diberi kepada peniaga yang berpendapatan rendah bagi meningkatkan rezeki melalui perniagaan yang mereka lakukan sekarang," katanya dalam sidang media sempena Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan "Blueprint" Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor, di sini semalam.

Menurutnya, bantuan yang diberikan kepada peniaga adalah berdasarkan peruntukan daripada Kerajaan Negeri. Malah, setakat ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan lebih RM1 juta bagi program bantuan pembasmian kemiskinan untuk peniaga di seluruh negeri.

Xavier berkata, bantuan pemberian peralatan kepada peniaga berpendapatan rendah ini akan diberikan setiap bulan berdasarkan permohonan mereka.

"Bantuan akan diberikan kepada mereka yang memohon dan bagi pemohon yang berjaya mereka akan diberi bantuan peralatan bernilai tidak melebihi RM10,000 mengikut kesesuaian serta keperluan pemohon."

"Selain itu, jenis bantuan yang akan diberikan adalah seperti mesin jahit industri, mesin air tebu, mesin penguli tepung, mesin pemerah santan dan sebagainya akan diberikan kepada para peniaga," katanya.

Xavier berkata peniaga boleh mendapatkan borang di Pejabat Daerah, Pejabat Unit Perancanagn Negeri (UPEN) dan pejabat beliau sendiri.

Di samping itu, borang bantuan ini juga akan diletakkan di pejabat setiap Ahli Dewan Negeri (ADUN) bagi setiap kawasan.

Sumber Berita: Sinar Harian (S4), 6 Ogos 2009


0 comments:

top