Hadiah Juara Liga Super : Selangor Ke Eropah

SHAH ALAM, 1 Ogos - Skuad bola sepak Selangor yang menjuarai Piala Liga Super musim ini dihadiahkan melancong sambil menjalani latihan di beberapa buah kelab Eropah.

Kesemua 35 pemain serta pegawai akan bertolak ke London, Rabu ini dan dijangka mengadakan perlawanan persahabatan, termasuk dengan pasukan Manchester United dan Arsenal.

Hadiah yang sangat bererti kepada pasukan Selangor ini diumumkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas Selangor menumpaskan Kelab Persib, Bandung dalam perlawanan Piala Selangor di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selangor menang 2-0 dalam perlawanan yang julung kali diadakan dengan pasukan dari Indonesia ini.

“Saya ada satu pengumuman, hasil daripada kemenangan mereka dalam super league, FAS telah bersetuju untuk membiayai lawatan sambil bermain dan belajar oleh pasukan Selangor ke Eropah.

“Mereka akan berada di sana dan dapat melawat pasukan-pasukan idaman, dan semoga seorang daripada mereka boleh mewakili di liga-liga premier di England dan Eropah,” katanya.

Tan Sri Khalid berkata, sesi latihan tersebut adalah sebagai persediaan awal kepada pasukan Selangor menghadapi pertandingan Piala Malaysia.

Pada kejohanan Liga Super lalu, Selangor muncul juara dengan mengutip 63 mata hasil 26 perlawanan dengan 64 jaringan gol, mengatasi Perlis di tangga kedua dengan 53 mata.

Sumber: tvselangor



0 comments:

top