Tubuh Jawatankuasa Khas Atasi Masalah

Semua pihak sama ada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat perlu bekerjasama dalam memastikan isu penduduk yang tidak mempunyai status identiti dapat ditangani.

Kerjasama berkenaan perlu kerana masalah berkenaan rumit untuk diselesaikan dan telah berlarutan sehingga ke beberapa generasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, selaras dengan hasrat berkenaan, kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa dan NGO perlu saling bekerjasama.

"Kerajaan negeri memandang serius isu ini, oleh itu satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan tidak lama, satu mesyuarat telah diadakan dan sehingga ini kita masih dalam proses mencari tempat (pejabat) untuk beroperasi."

"Penubuhan jawatankuasa berkenaan bertujuan memudahkan individu yang tidak mempunyai identiti dan masalah berkaitan tampil di tempat yang disediakan," katanya kepada Sinar Harian."

Menurutnya, kerajaan negeri akan membuat satu kertas kerja hasil daripada segala aduan dan masalah yang diterima untuk diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan dalam usaha membantu mereka yang terlibat.

Katanya, sekiranya perlu, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di setiap kawasan akan digunakan untuk menerima aduan berhubung masalah berkenaan.

"Sekiranya mereka tidak mampu untuk ke tempat yang telah disediakan kerana faktor kewangan, mereka boleh ke pejabat ADUN terdekat dan ADUN perlu mengambil perhatian berhubung masalah ini," katanya.

Xavier berkata, masalah berkenaan adalah masalah sosial terbesar dan sekiranya gagal diatasi akan menimbulkan pelbagai masalah sosial dan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Menurutnya, masalah paling besar adalah individu yang terlibat tidak layak untuk mendapat sebarang bantuan sama ada daripada kerajaan negeri mahupun Persekutuan sehingga mereka tergolong dalam golongan miskin tegar.

"Kesemua anak mereka juga tidak boleh ke sekolah, dengan tiada pendidikan masa depan mereka tidak terjamin kerana kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan berikutan ketiadaan kad pengenalan."

"Kesukaran yang dihadapi akan mendorong mereka mencari jalan pintas untuk meneruskan kelangsungan hidup, sebagai langkah mudah mereka akan melibatkan diri dengan aktiviti haram," katanya.

Sumber Berita: Sinar Harian, 4 Jun 2009, S17



0 comments:

top