Peniaga digalakkan Mohon Bantuan

Dengkil - Peniaga kecil yang berhasrat untuk memohon bantuan membeli peralatan bagi tujuan menjalankan perniagaan boleh mengemukakan permohonan bantuan peralatan kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, beliau masih lagi belum menerima sebarang permohonan bantuan oleh peniaga sedangkan peruntukan tersebut sudah disediakan kerajaan negeri atas dasar prihatin membantu mereka.

Menurut beliau, antara bantuan peralatan yang diberikan adalah seperti peti sejuk beku, mesin air tebu, mesin jus dan sebagainya yang boleh digunakan peniaga yang berpendapatan rendah bagi meningkatkan produktiviti barangan atau makanan keluaran mereka.

"Peniaga yang ingin memohon bantuan boleh meminta borang dipejabat daerah dan kita akan hantar pegawai untuk menyiasat bagi memastikan mereka layak sebelum bantuan tersebut diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Mesra Rakyat dan Kerajaan Prihatin serta penyerahan bantuan kepada 120 penduduk miskin di Pusat Penjaja Taman Dengkil Jaya dekat sini.

Selain itu Dr Xavier berkata, bantuan 'micro credit' iaitu bantuan modal juga disediakan kerajaan negeri untuk peniaga membuka dan meneruskan perniagaan dimana mereka perlu mengemukakan permohonan sepertimana bantuan peralatan perniagaan.

Beliau berkata, penghulu dan ketua kampung perlu memainkan peranan dengan lebih aktif bagi memastikan rakyat negeri ini yang layak menerima semua bentuk insentif yang disediakan kerajaan negeri menerimanya.

Selain itu, tiga unit kerusi roda juga diserahkan kepada tiga penerima termasuk orang kurang upaya dan warga emas yang memerlukannya bagi menjalani hidup yang lebih selesa pada majlis tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Dengkil Jaya, Ramlee Dolah dalam ucapannya memohon beberapa peruntukan termasuk naik taraf padang permainan Taman Dengkil Jaya dan memasang pagar bagi memisahkan kawasan tasik dengan padang berkenaan dapat dilaksanakan.

"Penduduk juga memohon agar kerajaan negeri menyediakan padang futsal bagi membolehkan belia bermain kerana di sini tidak terdapat kemudahan tersebut," katanya.

Dalam pada itu Dr Xavier pula menyatakan pihaknya akan memastikan perkara yang dikemukakan pengerusi penduduk akan diberi perhatian dan diberikan dalam sedikit masa lagi.

"Tidak ada masalah untuk kita menyediakan prasarana tersebut. Kita akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Angkat Dengkil, Yaakob Sapari sebelum projek naik taraf padang dan memasang pagar sekelilingnya diusahakan kelak," katanya.


Sumber Berita: Sinar Harian, 24 Jun 2009, S22


0 comments:

top