H1N1: Kerajaan Negeri Pantau Daerah

Shah Alam - Kerajaan Negeri Selangor sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya wabak H1N1 menular ke negeri ini dengan kerjasama semua agensi kesihatan yang ada.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, bagi memastikan penularan wabak berkenaan pemantauan di buat bermula di peringkat daerah.

Katanya, semua Pegawai Daerah (DO) dipertanggungjawabkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa memantau wabak berkenaan di daerah masing-masing.

"Buat masa ini Selangor tidak mempunyai sebarang masalah dan tiada kes H1N1 dicatatkan, Saya telah mengarahkan setiap daerah yang diketuai oleh DO untuk menubuhkan jawatankuasa untuk bersiap sedia hadapi penularan wabak berkenaan."

"DO perlu memanggil semua ahli jawatankuasanya yang terdiri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan dan semua agensi yang terlibat untuk mengadakan mesyuarat dan memaklumkan dengan segera sekiranya terdapat sebarang perkembangan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai langkah kerajaan negeri dalam menangani penularan wabak berkenaan yang sehingga kini hampir 30 kes di catatkan di seluruh negara.

Menurutnya, beliau juga telah mengadakan satu mesyuarat dengan semua DO dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Rosnah Hadis bagi mencari pendekatan yang perlu dalam memastikan persiapan menghadapi penularan wabak berkenaan dibuat dengan rapi.

Katanya, kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan dalam memastikan usaha yang dilakukan semua agensi yang terlibat berjaya.

"Masyarakat perlu bekerjasama dengan kita untuk menangani penularan wabak ini. Individu yang baru pulang dari luar negara diminta untuk hadir segera ke mana-mana hospital berhampiran bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan terutamanya mereka yang mempunyai simptom-simptom H1N1."

"Sehingga kini, saya dapati masyarakat di negeri ini mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dalam isu penularan wabak H1N1 dan sentiasa mengamalkan sikap berjaga-jaga," katanya.


Sumber Berita: Sinar Harian, 20 Jun 2009, S3


0 comments:

top